KUALA LUMPUR 2 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa konvoi Global Sumud Flotilla yang ditahan rejim Zionis Israel dibebaskan dalam kadar segera.
Sambil mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu, beliau menegaskan, ini adalah sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
"Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
"Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.
Katanya, ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
"Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.
"Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli," katanya.
Beliau menambah, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.
Sementara itu Bernama melaporkan Tentera Israel merempuh sebuah kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza, melepaskan tembakan meriam air ke arah konvoi itu dan bertindak kasar terhadap aktivisnya, lapor Anadolu Ajansi.
“Tentera pendudukan Israel menggunakan keganasan terhadap kapal kami, dengan sengaja merempuh satu daripadanya, melepaskan meriam air dan mengasari secara kejam tahanan aman dari 50 negara di seluruh dunia,” kata Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza menerusi hantaran di X.
Penganjur flotila itu menggesa campur tangan antarabangsa dengan segera, memberi amaran bahawa “kerajaan mesti bertindak kerana rakyat di seluruh ibu kota dunia bangkit dengan kemarahan.”
Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar pada akhir Ogos lalu dan dijangka tiba di pesisir pantai Gaza pada pagi Khamis sekiranya tiada halangan. - DagangNews.com








