KUALA LUMPUR 9 April — Pertemuan dengan perwakilan Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) dan Amerika Syarikat (AS-ABC) bertujuan membincangkan inisiatif baharu yang boleh meningkatkan perdagangan bukan sahaja Malaysia tetapi negara-negara anggota.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pertemuan tersebut semalam turut mengenal pasti pelbagai isu yang dihadapi oleh para pelabur, sekali gus memikirkan kaedah bersesuaian untuk membantu mereka mengatasi permasalahan berkenaan.
“Ini dapat membantu kerajaan mengambil tindakan (sewajarnya) membantu mereka mengembangkan perniagaan di sini. Perbincangan yang kita adakan amat baik dan idea-idea baru diutarakan turut menolong dalam meningkatkan lagi perdagangan intra-ASEAN,” katanya.
Pada masa yang sama, Amir Hamzah berkata bahawa Malaysia juga mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan daripada AS-ABC dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada tarif timbal balik yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Beliau turut berharap untuk mendapatkan persetujuan serta kesepakatan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN ketika menjelangnya tiga mesyuarat penting bersama-sama AS-ABC, EU-ABC
dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) pada hari ini.
"Kita berharap akan mendapat persetujuan dan kesepakatan untuk berinteraksi selain dapat meningkatkan lagi perdagangan yang ada antara industri-industri sendiri serta dengan negara lain," kata beliau.
Idea-idea seperti perdagangan intra-ASEAN katanya, merupakan langkah yang bernas untuk semua negara anggota membina sebuah operasi pasaran rentas sempadan dan berharap hasil positif dan persetujuan bersama daripada semua pihak.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan Amir Hamzah itu memberi penekanan kepada isu-isu kewangan yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tarikan Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.
Ia juga penting bagi mengatur langkah efektif dalam menangani kesan daripada pengumuman tarif baharu AS terutamanya terhadap pertumbuhan ekonomi serantau. - DagangNews.com








