Malaysia bertindak tenang dan strategik terhadap isu tarif, kata Pengerusi ASEAN-BAC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia bertindak tenang dan strategik terhadap isu tarif, kata Pengerusi ASEAN-BAC

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mei — Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia memuji kerajaan kerana menggunakan pendekatan tenang dan strategik dalam menangani isu situasi ketegangan tarif Amerika Syarikat (AS) pada ketika ini.


Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak berkata, Malaysia mengambil tindakan yang berhemat sambil menyifatkannya sebagai langkah 'bijak' dan boleh dijadikan model untuk dicontohi pula oleh negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.


Maklum balas Malaysia kata beliau, menunjukkan ada kejelasan dan ketenangan, jauh berbeza daripada beberapa negara yang dilihat bertindak balas terlalu cepat atau amat agresif apabila berdepan dengan keadaan tersebut.


"Saya tidak mudah memuji, tetapi saya benar-benar berpendapat yang kerajaan kita sangat bijak dalam mengendalikan situasi tarif AS," kata beliau pada sidang akhbar anjuran ASEAN-BAC Malaysia di ibu negara hari ini.


Nazir turut menggariskan empat elemen dalam respons Malaysia iaitu kekal tenang, sebelum melibatkan diri untuk memahami jurang antara retorik dan realiti, diikuti dengan menyusun strategi dan kemudiannya berunding.


"Saya fikir itu adalah cara yang betul untuk mengendalikan keadaan," kata beliau lagi sambil menambah, strategi yang diukur tersebut adalah lebih menonjol berbanding cara negara-negara lain bertindak balas.


Presiden AS, Donald Trump pada 2 April 2025 mengumumkan pelaksanaan tarif itu yang terdiri daripada duti asas 10 peratus ke atas semua import manakala tambahan 24 peratus lagi khusus menyasarkan produk Malaysia.


Langkah tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar di Malaysia dan pihak berkepentingan industri, memandangkan pendedahan luas eksport negara itu kepada pasaran AS selama ini.


Pada 9 April 2025, pentadbiran AS bertindak menangguhkan tarif khusus selama tempoh 90 hari dan membolehkan rundingan lanjut dengan lebih 75 negara yang terjejas.


Bagaimanapun tarif am 10 peratus kekal berkuat kuasa manakala tarif ke atas barangan dari China telah dilonjakkan kepada kadar terkumpul sebanyak 145 peratus.


Semasa sidang khas Parlimen pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan berjanji menyediakan sehingga RM1.5 bilion jaminan pinjaman tambahan dan pembiayaan untuk sektor terjejas oleh tarif itu.


Kerajaan turut akan menaikkan peruntukan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dalam mendapatkan pinjaman bank perdagangan.


Dalam pada itu, kerajaan tegas Anwar, turut sedang giat melibatkan pentadbiran AS untuk merundingkan pengurangan kadar tarif yang dicadangkan.


Malaysia juga tambah beliau, akan mengukuhkan integrasi dalam ASEAN dan menggalakkan aktiviti ekonomi serantau melalui pelbagai inisiatif tertentu. - DagangNews.com