Malaysia Aviation Group jalin kerjasama global dengan Adobe, Google, Skyscanner dan Visa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Aviation Group jalin kerjasama global dengan Adobe, Google, Skyscanner dan Visa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Malaysia Aviation Group (MAG) menjalin kerjasama dengan empat peneraju e-dagang dan teknologi dunia iaitu Adobe, Google, Skyscanner dan Visa.

 

Kerjasama itu bertujuan memperkukuhkan kemampuan digital syarikat serta menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan mesra pelanggan.

 

Dengan kerjasama tersebut, MAG muncul sebagai Kumpulan syarikat penerbangan pertama di dunia yang memeterai kolaborasi seumpama itu melibatkan empat peneraju utama secara serentak.

 

Ketua Pegawai Digital & IT Kumpulan MAG, Clarence Lee berkata, kerjasama itu merupakan langkah signifikan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan dalam talian yang lebih lancar tanpa sebarang gangguan.

 

“Dengan kepakaran rakan global seperti Google, Skyscanner, Adobe dan Visa, setiap perjalanan bersama MAG akan lebih lancar, selesa dan memberi ganjaran kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran berkata, kolaborasi itu bukan sekadar memperkukuh kelebihan digital MAG, tetapi juga satu bentuk transformasi keseluruhan perjalanan pelanggan, bermula dari membuat tempahan hingga tiba ke destinasi.

 

“Ia menetapkan piawaian baharu bagaimana syarikat penerbangan seharusnya berinteraksi dengan pelancong,” katanya.

 

Melalui kerjasama itu, setiap rakan strategik MAG akan memainkan peranan masing-masing mengikut kepakaran tersendiri:

 

Adobe: Memastikan pengalaman digital diperibadikan untuk semua segmen pelanggan, termasuk keluarga, pelancong perniagaan dan penumpang pertama kali.

 

Google: Inovasi AI terkini seperti Gemini serta Veo3 akan memudahkan penemuan dan carian perjalanan dengan lebih mudah tanpa sebarang kekeliruan.

 

Skyscanner: Meningkatkan keterlihatan Malaysia Airlines di seluruh ekosistem perjalanan digital, memastikan tawaran syarikat penerbangan ditemui di mana sahaja pelanggan membuat carian.

 

Visa: Memperkenalkan pengalaman pembayaran yang selamat, pantas dan inovatif untuk setiap tempahan.

 

Majlis pelancaran kerjasama diadakan sempena penganjuran MATTA Fair 2025, disertai oleh barisan kepimpinan MAG dan wakil dari setiap rakan strategik global.

 

Kolaborasi itu dijangka menetapkan standard baru bagi pengalaman digital dalam industri penerbangan, meningkatkan daya saing MAG, serta menarik minat pelancong dan pelabur dalam ekosistem perjalanan Malaysia. - DagangNews.com