Malaysia akan mempermudah import daging dari Pakistan - PM Anwar  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia akan mempermudah import daging dari Pakistan - PM Anwar 

Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 6 Okt - Malaysia bersedia untuk memudahkan eksport produk pertanian dan ternakan dari Pakistan, termasuk daging lembu dan jenis daging lain, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam bidang pertanian pula Malaysia telah meningkatkan import beras dari Pakistan.

 

“Terdapat minat untuk mengeksport daging ke Malaysia dan kita akan permudahkan proses ini.

 

“Memandangkan anda (Shehbaz) telah memberi jaminan harga yang ditawarkan akan kompetitif, kita akan lakukan apa yang perlu untuk mempermudahkan eksport daging seperti yang disebut, yang bernilai sehingga AS$200 juta,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif di Putrajaya hari ini.

 

anwar pakistan
Gambar Facebook Anwar Ibrahim

 

Terdahulu, Shehbaz yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putrajaya, sebelum kedua-dua pemimpin itu mengetuai delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala dan pertemuan tertutup yang berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan konstruktif. 

 

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Pakistan telah terjalin sejak 1957, apabila Malaysia mencapai kemerdekaannya -- sedekad selepas kemerdekaan Pakistan sendiri.

 

“Hubungan sejarah, budaya, pendidikan, penyelidikan, pertahanan telah diwujudkan dan kerjasama ekonomi yang sentiasa berkembang diberi tumpuan sejak awal lagi.

 

“Aspirasi bersama kita adalah kita perlu meningkatkan lagi kerjasama dalam semua bidang,” kata Perdana Menteri.

 

Beliau berkata antara bidang yang boleh diteroka bersama termasuklah kerjasama dalam pertahanan, pertanian dan tenaga boleh baharu, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

 

Menurut beliau, Shehbaz juga menggalakkan kedua-dua negara untuk mewujudkan kerjasama lebih erat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), inovasi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), digital, elektrik dan elektronik, serta semikonduktor.

 

"Saya fikir ini adalah bidang baharu (untuk diteroka). Pakistan adalah antara negara Islam yang pada mulanya jelas jauh ke hadapan dalam bidang ini.

 

“Oleh itu, potensi itu masih lagi ada sekarang, (memandangkan) kita telah mencapai kestabilan di negara ini dan kita pastinya mengalualukan kerjasama,” kata beliau.

 

Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Shehbaz ke Malaysia sejak mengambil alih jawatan pada 4 Mac, 2024.

 

pm paki 2

 

Sementara itu, menerusi satu kenyataan bersama, Anwar dan Shehbaz berkata terdapat potensi besar dalam perdagangan dan pelaburan dua hala dan berpuas hati dengan usaha berterusan untuk meningkatkannya.

 

Kedua-dua pemimpin komited untuk menggalakkan keseimbangan dan hubungan ekonomi mampan melalui akses pasaran yang dipertingkat, pemudahan perniagaan dan pelaksanaan berkesan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia–Pakistan (MPCEPA).

 

Malaysia juga melahirkan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan, sejajar dengan peningkatan permintaan dalam sektor pemprosesan dan pembuatan makanan.

 

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memastikan bekalan yang stabil dan mampan, sambil mengekalkan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," kata kenyataan itu.

 

Selain itu, Anwar dan Shehbaz juga melihat bahawa permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat.

 

Justeru, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang halal dan komited untuk memudahkan pengiktirafan bersama serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan halal, meningkatkan bekalan makanan dan pembuatan produk.

 

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan kepentingan amalan pertanian mampan dan bersetuju untuk meneroka penyelidikan bersama, inovasi dan pembangunan kaedah pengeluaran pertanian mampan. - BERNAMA