Malaysia Airports perkenal 'Calm Room' di KLIA untuk keselesaan penumpang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airports perkenal 'Calm Room' di KLIA untuk keselesaan penumpang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperkenalkan sebuah ruang khas dikenali sebagai 'Calm Room' di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menambah keselesaan penumpang.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kemudahan tersebut adalah komitmen tinggi pihaknya dalam menyediakan perkhidmatan lapangan terbang yang inklusif dan mesra kepada semua penumpang terutama golongan berkeperluan khas.

 

Katanya, kemudahan itu disediakan susulan sambutan positif penumpang terhadap inisiatif 'The Butterfly Effect' yang dilancarkan pada April 2021.

 

"Setakat ini, kemudahan itu telah memberi manfaat kepada lebih 4,450 penumpang berkeperluan khas dalam menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat.

 

"Inisiatif itu adalah untuk membantu golongan istimewa seperti kanak-kanak Autisme atau penghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD), Hiperaktif dan seumpamanya bermula dari balai ketibaan hingga ke pintu pelepasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Calm Room yang disediakan di KLIA untuk menambah keselesaan penumpang berkeperluan khas

 

 

Kemudahan 'Calm Room' yang terletak di Tingkat 3A Balai Berlepas Terminal 2 pula direka khusus untuk menyediakan suasana yang nyaman bagi membantu penumpang yang mengalami keresahan ketika berada di lapangan terbang.

 

Katanya, antara kemudahan yang disediakan termasuk pencahayaan boleh laras, akses kamera litar tertutup (CCTV) yang selamat, sistem keselamatan kebakaran serta pelbagai alat terapi seperti lampu gentian optik, alat permainan yang sesuai dan audio penenang.

 

"Kami sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Lembaga Pentauliahan Analisis Tingkah Laku Gunaan, IDEAS Autism Centre, Autism Behavioral Center (ABC), Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk keselesaan golongan ini," katanya.

 

Dalam pada itu, Malaysia Airports turut menawarkan anak patung edisi khas secara percuma kepada 50 pengguna pertama 'Calm Room' tersebut.

 

Hadiah itu diberikan sementara stok masih ada sebagai menghargai pelanggan terawal.

 

Penumpang atau penjaga boleh mendapatkan bantuan lanjut di kaunter maklumat utama di Balai Berlepas Terminal 1 atau Terminal 2 untuk mengakses ruang tersebut.

 

Pihak Malaysia Airports turut menggalakkan pendaftaran awal bagi program 'The Butterfly Effect' melalui laman rasmi syarikat, bagi memastikan koordinasi yang lebih lancar dan penyediaan sokongan yang bersesuaian sebelum ketibaan penumpang. - DagangNews.com