Malaysia Airports lancar jelajah vendor ke seluruh negara buka peluang di lapangan terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airports lancar jelajah vendor ke seluruh negara buka peluang di lapangan terbang

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Julai – Malaysia Airports telah melancarkan program Jerayawara Hubung & Kolaborasi Vendor di peringkat nasional yang bermula minggu ini di Kota Kinabalu.

 

Inisiatif strategik ini bertujuan memperkukuh dan memantapkan ekosistem vendor di seluruh negara serta akan diperluaskan ke bandar-bandar utama seperti Kota Bharu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching dalam beberapa bulan akan datang.

 

Malaysia Airports berhasrat melibatkan lebih ramai perniagaan tempatan dalam usaha pertumbuhan dan transformasi rangkaian lapangan terbangnya.

 

 

 

 

 

Sebagai sebahagian daripada pelan transformasi strategiknya untuk mempertingkat prestasi operasi dan penyampaian perkhidmatan, Malaysia Airports terus melabur secara signifikan dalam kerja-kerja penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal, dan pembangunan sistem di 39 buah lapangan terbang, termasuk lima pintu masuk antarabangsa.

 

Usaha ini menekankan kepentingan kewujudan ekosistem vendor yang kukuh bagi menyokong operasi dan pemodenan infrastruktur lapangan terbang di seluruh negara.

 

Melalui inisiatif ini, Malaysia Airports berhasrat memperluaskan pangkalan vendor bertauliah dengan memberi tumpuan khas kepada penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga kepada Kontraktor G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta pembekal dengan kepelbagaian keupayaan bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin berkembang.

 

 

Fudzail

 

 

Jerayawara ini direka bagi memberikan pendedahan praktikal kepada vendor berpotensi tentang peluang perniagaan bersama Malaysia Airports.

 

Ia juga akan menjelaskan proses perolehan, pendaftaran vendor, keperluan teknikal serta penggunaan platform e-perolehan syarikat. Saluran sokongan khas turut diperkenalkan bagi membantu vendor, terutamanya PKS, dalam memahami keperluan serta standard pematuhan.

 

Selaras dengan agenda transformasinya, Malaysia Airports kini mengguna pakai pendekatan penilaian vendor yang lebih menyeluruh dan berasaskan nilai. Kriteria penilaian akan memberi kepentingan yang sama terhadap aspek integriti, kualiti prestasi, kelestarian, inovasi teknologi, keupayaan menyelesaikan masalah serta potensi pertumbuhan jangka panjang.

 

Pendekatan ini memastikan vendor bukan sahaja berdaya saing tetapi juga sejajar dengan objektif Malaysia Airports secara menyeluruh, termasuk meningkatkan pengalaman penumpang, daya tahan operasi, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Jerayawara ini, yang dianjurkan dengan kerjasama CIDB, turut memudahkan penglibatan awal bersama pihak kepimpinan dan pasukan teknikal pengendali lapangan terbang bagi membantu vendor memahami konteks operasi dan keutamaan strategik dengan lebih mendalam.

 

 

 

 

 

 

Setiap sesi jerayawara dibahagikan kepada dua bahagian: sesi taklimat pagi yang merangkumi peluang perolehan dan kerjasama, diikuti dengan lawatan tapak ke lapangan terbang pada sebelah petang. Format ini membolehkan vendor berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan utama serta memahami sendiri keperluan operasi dan infrastruktur lapangan terbang.

 

Vendor yang berminat menyertai digalakkan mengikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial rasmi Malaysia Airports bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi seterusnya. - DagangNews.com