Malayan United Industries rugi bersih RM50 juta bagi 3QFY26 disebabkan kurang hasil sektor hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malayan United Industries rugi bersih RM50 juta bagi 3QFY26 disebabkan kurang hasil sektor hartanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 MeiMalayan United Industries Berhad (MUI) mencatatkan peningkatan kerugian bersih sebanyak 47.3% kepada RM50.47 juta bagi suku ketiga yang berakhir 31 Mac 2026 (3QFY26).

 

Prestasi lemah itu akibat sumbangan lebih rendah oleh bahagian hartanah yang bertukar daripada kedudukan untung kepada kerugian, serta kesan pelupusan aset Corus Hotel KLCC pada Januari 2026. 


Selain itu jelas kumpulan tersebut, penutupan sementara Corus Hotel Hyde Park di United Kingdom bagi kerja-kerja pengubahsuaian secara besar-besaran turut menjejaskan teruk pendapatan syarikat.


"Bagi suku dalam tinjauan berkenaan, hasil kumpulan merosot kira-kira 41.4% kepada RM62.3 juta berbanding RM106.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu," maklum MUI kepada Bursa Malaysia.


Penurunan ketara ini dipengaruhi oleh sektor hartanah yang mencatatkan hasil RM12.7 juta sahaja, susulan pengiktirafan hasil lebih rendah bagi projek-projek yang berada di fasa akhir penyiapan.


Segmen hotel mencatatkan hasil RM7.1 juta, kejatuhan mendadak berbanding RM15.9 juta sebelumnya, manakala bahagian makanan segera dan peruncitan turut mengalami permintaan yang lebih perlahan.


Bagaimanapun tambah kumpulan tersebut, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan (9MFY26), hasil MUI melonjak 76.5% kepada RM651.6 juta berbanding RM369.1 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.


"Peningkatan pendapatan selama sembilan bulan ini dipacu oleh pelupusan tanah-tanah utama kepada Gamuda DC Infrastructure Sdn Bhd di Negeri Sembilan pada suku-suku sebelumnya," jelasnya lagi.


Meskipun meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM86.1 juta untuk tempoh itu, kerugian yang boleh diagihkan kepada pemilik masih berada pada paras RM21.7 juta sepanjang waktu tersebut.


Melangkah ke hadapan, MUI tetap optimis terhadap portfolio hotel di Britain dan menjangkakan Corus Hotel Hyde Park yang akan dijenamakan semula itu bakal memberikan prestasi lebih baik tahun depan.


Kumpulan berkenaan juga akan terus melaksanakan strategi pemulihan bagi bahagian peruncitan dan makanan segera melalui pengoptimuman kos dan kecekapan operasi. - DagangNews.com