Malakoff selesai pemerolehan Zec Solar bagi lonjak kapasiti RE kepada 159MW | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff selesai pemerolehan Zec Solar bagi lonjak kapasiti RE kepada 159MW

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) melakar sejarah apabila berjaya menyelesaikan usaha pengambilalihan Zec Solar Sdn Bhd. dan TJZ Suria Sdn Bhd.
 

Syarikat tersebut kini menguasai 51 peratus kepentingan dalam Zec Solar yang mewakili 22.39 juta saham manakala di TJZ Suria pula, ia memiliki 49 peratus atau 49,000 saham.
 

Pengambilalihan itu bakal meningkatkan Malakoff kepada kapasiti berkesan 159 megawatt (MW) dalam sektor tenaga boleh baharu (RE) dan mengoptimumkan kos operasi melalui sinergi sumber yang menghasilkan skala ekonomi.
 

ZEC Solar merupakan pemilik dan pemaju kemudahan solar berskala besar (LSS) dengan kapasiti 29 MW di Kota Tinggi, Johor. 
 

Ia terlibat di bawah program LSS dengan perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) selama 21 tahun yang sudah berkuat kuasa sehingga tahun 2040.
 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pembesaran itu akan meningkatkan keupayaan teknikal Malakoff dengan ketara.
 

Ini menjadikan jumlah kapasiti RE terpasang Malakoff kepada 159MW dan menyediakan loji rujukan untuk memenuhi keperluan latihan pembidaan LSS pada masa depan sama ada di dalam dan di luar negara.
 

“Selain itu, kami juga sudah menceburi projek kuasa hidro melalui projek RP Hidro Kelantan (RPHK) Sungai Galas dengan kapasiti 84MW.
 

"Di samping itu, kami memperoleh SPPA dengan pemain industri utama seperti DRB-HICOM Group of Companies, UMW Group of Companies, Railway Assets Corporation dan Keretapi Tanah Melayu Bhd," katanya dalam satu kenyataan.
 

Sehingga kini, melalui tonggak perniagaannya yang baru ditubuhkan dikenali sebagai Penyelesaian Hijau Malakoff – portfolio RE Malakoff sudah berjumlah 159 MW.
 

Ini terdiri daripada pelaksanaan LSS dan projek solar atas bumbung kepada penjanaan kuasa hidro kecil serta pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon. - DagangNews.com