KUALA LUMPUR 25 April — Malakoff Corporation Berhad menerusi, Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB) akan memasang sistem panel solar fotovoltaik atas bumbung di lima fasiliti utama Madec Berhad di seluruh Semenanjung Malaysia.
Projek tersebut dilaksanakan di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan jumlah kapasiti terpasang kira-kira 3.54 megawatt-peak (MWp) dan kerja-kerja dijangka bermula pada pertengahan Julai 2025, disusuli kemudian proses pengoperasian.
Langkah berkenaan susulan kerjasama strategik bersama Mardec melalui pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) pada 18 April 2025 dengan paling besar berkapasiti 1.15 MWp akan dilaksanakan di Mardec Processing Sdn Bhd di Baling, Kedah.
"Fasiliti lain yang terlibat termasuklah Mardec Processing Sdn Bhd di Bota dan Mardec Industrial Latex Sdn Bhd di Tapah, kedua-duanya di Perak serta M-POL Precision Products Sdn Bhd di Bayan Lepas, Pulau Pinang," kata Malakoff dalam satu kenyataan.
Mardec merupakan pemain utama industri getah negara, terutamanya aktiviti pemprosesan dan perdagangan, lateks pekat serta produk getah khusus selain berperanan penting menyokong pekebun kecil getah menerusi usaha mempromosikan sumber lestari.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, inisiatif bersama Mardec adalah satu pencapaian penting dalam komitmen memacu rumusan tenaga boleh diperbaharui yang berskala industri.
Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam operasi utama, syarikat terbabit bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon mereka, malah memperkukuhkan daya tahan operasi secara jangka panjang selain penjimatan kos bil elektrik bulanan.
“Pada 2024, MRSB memperoleh 22.1 MWp projek tenaga solar komersial dan industri (C&I), dengan 17.4 MWp berjaya dipasang merentasi pelbagai sektor, malah setakat ini, ia telah membina portfolio tenaga solar C&I kukuh berjumlah 60 MW,” katanya.
Portfolio pelanggan MRSB kata beliau, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Akademi Penerbangan Malaysia, Kumpulan Syarikat UMW, Projek Lintasan Kota Holdings, Gas Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad dan DRB-HICOM Berhad.
Setiap inisiatif yang dilaksanakan kata Anwar Syahrin, menyumbang kepada visi lebih besar dalam mempercepatkan peralihan tenaga bersih negara dan usaha-usaha ini secara kolektif membantu membentuk semula landskap tenaga Malaysia.
Malakoff tegas beliau kekal komited dalam meneruskan kerjasama strategik yang menjurus ke arah kelestarian jangka panjang serta sedang giat memperluas inisiatif itu sambil memastikan keselamatan tenaga negara tidak terjejas.
"Menerusi tonggak perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat ini telah membina portfolio tenaga boleh diperbarui yang kukuh berjumlah 173 MW merangkumi pelbagai projek seperti Solar Berskala Besar," kata beliau.
Syarikat itu juga terlibat dalam pemasangan solar C&I, penjanaan tenaga hidro kecil, serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon yang menyerlahkan komitmen teguh Malakoff terhadap masa depan tenaga yang lestari dan berdaya tahan. - DagangNews.com








