Malakoff kembali ke landasan pertumbuhan positif, penganalisis saran Tambah dengan TP RM1.20 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff kembali ke landasan pertumbuhan positif, penganalisis saran Tambah dengan TP RM1.20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – Pelanjutan operasi yang diterima Malakoff Corporation Berhad untuk tiga loji janakuasanya (kapasiti gabungan kira-kira 2.1GW) sehingga 31 Disember 2029, diyakini akan terus  meningkatkan pendapatan syarikat dalam jangka sederhana, menurut penganalisis.

 

Pelanjutan tersebut melibatkan loji janakuasa yang dikendalikan oleh anak syarikat Malakoff, iaitu dua loji di Lumut, Perak — loji Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 1,303MW milik Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) dan loji Open Cycle Gas Turbine (OCGT) berkapasiti 429MW milik GB3 Sdn Bhd (GB3) — serta loji CCGT Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang, yang dimiliki oleh Prai Power Sdn Bhd (PPSB).

 

CGS International menilai langkah ini sebagai positif kerana ia memberikan kepastian pendapatan serta mengekalkan nilai aset sedia ada.

 

“Bagi loji GB3 dan Prai, keuntungan bersih dijangka sekitar RM20 juta setahun setiap satu manakala Segari dijangka menyumbang lebih tinggi berikutan kadar tarif yang lebih baik berbanding kadar semasa.

 

“Saham Malakoff telah turun kira-kira 28% dalam tempoh tiga bulan terakhir selepas insiden kebakaran dan kerosakan kren di loji Tanjung Bin.

 

“Namun kami berpandangan risiko ini telah diambil kira dalam harga saham semasa. Oleh itu, kami mengekalkan cadangan Tambah dengan harga sasaran RM1.20,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Dari segi kewangan, keuntungan bersih syarikat dijangka melonjak kepada RM226 juta pada 2026 daripada RM87 juta pada 2025, manakala EPS dijangka meningkat daripada 0.046 sen kepada 0.053 sen. Dividend yield turut dijangka meningkat kepada 5.82%.

 

CGSI berkata pertumbuhan pelaburan langsung asing dalam sektor elektronik dan pusat data dijangka meningkatkan permintaan elektrik di Malaysia, menjadikan pelanjutan operasi loji gas sedia ada strategik bagi memenuhi keperluan sementara sehingga loji baharu siap dibina.

 

“Beberapa pemacu kenaikan saham yang dikenal pasti termasuk kejayaan tender loji gas baharu, penyelesaian isu bekalan arang di Tanjung Bin, penambahan projek tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan prestasi loji sedia ada.

 

“Risiko yang dikenal pasti termasuk kemungkinan margin bahan api negatif kembali dan gangguan operasi loji yang tidak dijangka,” katanya.

 

Namun, CGS International menilai risiko jangka pendek ini telah diambil kira dalam harga saham semasa.

 

Dalam sektor kuasa, Malakoff kini lebih rendah dari segi P/E dan P/BV berbanding pesaing utama, menjadikannya peluang pelaburan menarik dengan potensi dividen dan pertumbuhan sederhana.

 

Secara keseluruhan, pelanjutan operasi tiga loji ini dijangka menyokong peningkatan pendapatan dan nilai saham Malakoff, dengan potensi kenaikan sehingga 53.8% berdasarkan TP RM1.20, menurut CGS International.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga loji janakuasa gas Malakoff berkapasiti 2,082MW dapat pelanjutan operasi sehingga Dis 2029

 

Sementara itu, RHB Research pula mengekalkan saranan Beli terhadap Malakoff dengan harga sasaran RM0.93, menawarkan potensi kenaikan sekitar 18% beserta dividen hasil sekitar 5%. 

 

Firma penyelidikan itu menekankan peluang pelabur untuk mengumpul saham ketika harga pasaran masih lemah, memandangkan pulangan dijangka meningkat apabila operasi Tanjung Bin Energy kembali normal dan lanjutan PPA loji gas menyokong pendapatan Malakoff.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan kumpulan sekitar 9% CAGR bagi tempoh FY24-27, dengan FY26-FY27 dijangka mencatat keuntungan lebih tinggi selepas penyesuaian akibat penutupan sementara TBE pada FY25. 

 

“Malakoff dijangka mengekalkan kadar pembayaran dividen sekitar 70%, sekali gus memastikan aliran tunai syarikat kekal stabil untuk para pelabur,” katanya.

 

Firma itu berkata projek loji gas baharu 1,400MW berpotensi menambah nilai kepada harga sasaran sekiranya Malakoff memenangi tender.

 

Projek ini juga strategik untuk menggantikan loji TBP 2,100MW yang dijangka ditamatkan operasi pada 2031, sekali gus mengekalkan kapasiti penjanaan tenaga.

 

Selain itu, RHB Research turut memfokuskan inisiatif tenaga boleh diperbaharui Malakoff, termasuk projek hidro kecil, solar berskala besar dan WTE yang dijangka menyumbang sehingga 676MW menjelang 2029. 

 

“Walaupun sumbangan RE kepada hasil adalah kecil, ia penting untuk mengurangkan pelepasan karbon syarikat dan meningkatkan penarafan ESG jangka panjang.

 

“Peluasan kapasiti pengurusan sisa yang dijangka mencapai 10,000 tpd menjelang 2030, meningkat 61% daripada kapasiti semasa, menunjukkan transformasi strategik syarikat ke arah operasi lestari,” katanya.

 

Dari segi ESG, firma itu menurunkan skor Malakoff kepada 2.4 daripada 4 bagi mencerminkan insiden yang berlaku di Tanjung Bin. Walau bagaimanapun, mereka melihat potensi peningkatan skor jika syarikat berjaya mengurangkan pelepasan karbon dan kadar kecederaan pekerja.

 

RHB juga menekankan risiko utama termasuk gangguan tidak dijangka pada loji, kelewatan operasi pengangkutan arang batu di Tanjung Bin dan kos operasi yang meningkat. - DagangNews.com