KUALA LUMPUR 30 Jan — Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengumumkan tiga loji janakuasa gas miliknya dengan kapasiti agregat 2,082 megawatt (MW) telah dipilih untuk pelanjutan operasi sehingga 31 Disember 2029, susulan pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pelanjutan tempoh operasi ini membolehkan loji-loji berkenaan terus membekalkan elektrik kepada grid nasional, sekali gus menyokong keperluan tenaga Malaysia di tengah-tengah permintaan yang berterusan serta peralihan tenaga negara.
Pelanjutan tersebut melibatkan loji janakuasa yang dikendalikan oleh anak syarikat Malakoff, iaitu dua loji di Lumut, Perak — loji Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 1,303MW milik Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) dan loji Open Cycle Gas Turbine (OCGT) berkapasiti 429MW milik GB3 Sdn Bhd (GB3) — serta loji CCGT Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang, yang dimiliki oleh Prai Power Sdn Bhd (PPSB).
Bagi membolehkan operasi diteruskan sepanjang tempoh lanjutan, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) baharu akan dimeterai dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi setiap loji.
Loji SEV Lumut telah beroperasi sejak 1996, diikuti loji GB3 Lumut pada 2001, manakala loji Prai mula beroperasi pada 2003. Ketiga-tiga loji gas ini merupakan asas penjanaan jangka panjang yang secara konsisten menyokong bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
Dengan kapasiti gabungan 2,082MW, loji-loji ini menyediakan penjanaan tenaga yang boleh dipercayai dan fleksibel, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan grid dan margin rizab, khususnya ketika tempoh permintaan elektrik yang tinggi.
Mengulas mengenai kejayaan Malakoff memperoleh pelanjutan tempoh operasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin, berkata langkah itu merupakan satu keperluan dan mencerminkan pendekatan yang praktikal serta bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan tenaga negara.
“Loji-loji janakuasa ini telah menyokong grid nasional dengan rekod prestasi yang konsisten selama bertahun-tahun. Pelanjutan operasi membolehkan kemudahan janakuasa gas yang terbukti ini terus menyumbang kapasiti yang boleh dipercayai dan fleksibel, terutamanya ketika permintaan berada pada tahap tinggi,” katanya.
Beliau menambah penggunaan infrastruktur sedia ada secara berkesan turut menyokong keselamatan tenaga negara dengan cara yang lebih kos efisien.
“Dari sudut lain, loji-loji ini menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding sumber bahan api fosil lain. Ini bermakna kami bukan sahaja memastikan bekalan tenaga yang berterusan dan boleh dipercayai kepada grid, malah turut mengurangkan jejak karbon dengan memanfaatkan gas asli sebagai bahan api peralihan ketika campuran tenaga negara terus berkembang,” jelasnya.
Menurut Syahrunizam, loji CCGT dan OCGT kekal memainkan peranan penting sepanjang tempoh peralihan tenaga kerana keupayaannya menjana tenaga secara cekap dan responsif.
Pelanjutan ini juga dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih Malakoff sepanjang tempoh lanjutan, sekali gus menyerlahkan nilai jangka panjang pengurusan aset yang berdisiplin.
Seiring dengan perjalanan transformasi Malakoff, pelanjutan operasi loji-loji janakuasa gas ini mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk mengekalkan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, sambil menyokong matlamat peralihan tenaga jangka panjang Malaysia, selaras dengan tujuan Malakoff untuk “Enhancing Life, Enriching Communities.” - DagangNews.com








