Majlis Peluncuran Pelan Induk JS-SEZ pada 30 Mac ditangguh - Kementerian Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Peluncuran Pelan Induk JS-SEZ pada 30 Mac ditangguh - Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Ekonomi hari ini memberitahu penganjuran Majlis Peluncuran Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan pada 30 Mac 2026 di Johor Bahru, Johor ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

Dalam kenyataan hari ini kementerian itu memberitahu keputusan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada hari ini.

 

Dalam pengumuman sebelum ini Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan tindakan berkenaan merangkumi insentif, peluang pelaburan serta kerangka operasi JS-SEZ yang bukan sekadar bertujuan menarik pelaburan, sebaliknya meningkatkan produktiviti serta menjana hasil berkualiti tinggi untuk rakyat dan ekonomi negara.

 

JS-SEZ yang menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh, kata beliau.

 

Zon ekonomi itu turut menyasarkan peralihan kepada ekonomi berasaskan koridor sungai yang lebih maju dan berteraskan inovasi, selain mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.   - DagangNews.com