IPOH 17 Jun - Sebanyak 27 kontrak kerja penyelenggaraan dan naik taraf bernilai RM2.3 juta ditawarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kepada kontraktor berkelayakan.
Kontrak bernilai RM1.74 juta ditawarkan Jabatan Kejuruteraan MBI bagi kerja-kerja penurapan semula jalan.
Jabatan Landskap MBI pula menawarkan kontrak menaik taraf gelanggang, padang, pemasangan pagar dan penghadang bola, pembekalan kerusi taman dan pokok teduhan bernilai RM624,000.
Peruntukan ini merangkumi RM1.4 juta daripada Dana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Dana Ekonomi Rakyat (Insentif Kemudahan Rakyat sebanyak RM300,000) dan peruntukan MBI (RM624,000).

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, pemberian kontrak ini dapat merangsang ekonomi tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, tawaran kerja tersebut dibuat menerusi cabutan undi.
“Cabutan ini terbuka kepada kontraktor G1 berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kategori kerja awam dari daerah Kinta sahaja.
“Kontrak membabitkan nilai kerja di bawah RM100,000 selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 127 kontraktor yang lulus tapisan dan memenuhi syarat kelayakan telah menyertai sesi cabutan tersebut.
Cabutan kerja-kerja undi sesi 01/25 ini telah diadakan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi MBI. - DagangNews.com








