Majlis Bandaraya Ipoh agih kontrak RM16.2 juta bagi naik taraf infrastruktur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Bandaraya Ipoh agih kontrak RM16.2 juta bagi naik taraf infrastruktur

MBI menganugerahkan kontrak kepada 149 syarikat melibatkan nilai RM16.2 juta.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 31 Dis - Kontrak kerja bernilai RM16.2 juta telah ditawarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kepada syarikat kontraktor yang layak secara cabutan menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

 

Peruntukan tersebut melibatkan dua kategori utama iaitu perolehan kerja kejuruteraan awam (CE21) dan perolehan kerja elektrik (E11).

 

Ia melibatkan 144 kerja dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 juta bagi CE21 dan 5 kerjabernilai RM600,000 untuk E11.

 

Datuk Bandar Ipoh, Zamakshari Hanipah berkata, kontrak merangkumi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan penurapan semula jalan di sekitar Ipoh dan kerja-kerja penggantian lampu.

 

Perak
Zamakhshari (kanan) melakukan cabutan undi bagi memilih kontraktor yang layak mendapatkan tender kerja-kerja MBI.

 

Menurut beliau, kerja-kerja undi ini terbuka kepada kontraktor CIDB G1 dalam Daerah Kinta bagi kerja kejuruteraan awam, manakala bagi kerja elektrik pula penyertaan dibuka kepada kontraktor CIDB G1, G2 dan G3.

 

“Seramai 234 kontraktor telah berjaya mendaftar, namun kontraktor yang disenarai hitam tidak dipilih dalam proses cabutan undi bagi memastikan integriti dan kredibiliti pelaksanaan projek sentiasa terpelihara.

 

“Nilai perolehan bagi setiap kerja undi adalah sehingga RM200,000 selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2025.

 

“Ini sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dan MBI dalam memberi peluang yang adil kepada kontraktor kecil, khususnya kontraktor G1,” ujarnya dalam kenyataan.

 

Perak
MBI menganugerahkan kontrak merangkumi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan penurapan semula jalan di sekitar Ipoh dan kerja-kerja penggantian lampu - gambar hiasan.
 

 

Terdahulu, Zamakshari telah menyempurnakan majlis cabutan undi tersebut di Ballroom 2, Pusat Konvensyen Ipoh di sini.

 

Ia dilaksanakan menggunakan pendekatan hibrid, iaitu gabungan kehadiran fizikal serta siaran langsung dalam talian.

 

Ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak mengikuti proses cabutan undi secara terbuka, telus dan adil.

 

Tambah Zamakshari, beliau yakin pelaksanaan kerja-kerja ini bukan sahaja dapat mempercepatkan pembangunan infrastruktur bandar, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

 

Pada masa sama ia turut membantu kelangsungan industri kontraktor tempatan. - DagangNews.com