Mahmud Abu Bekir fail saman tuntut periksa akaun Cahya Mata Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahmud Abu Bekir fail saman tuntut periksa akaun Cahya Mata Sarawak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mac - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) berdepan saman oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, yang menuntut pemeriksaan ke atas akaun syarikat dan lima anak syarikatnya.

 

CMS berkata, Mahmud memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuching.

 

"Disebabkan notis yang singkat, syarikat meminta pemeriksaan akaun dilakukan pada masa lain. 

 

 

"Namun, Mahmud tidak menunggu keputusan lembaga pengarah tentang masa dan lokasi pemeriksaan, sebaliknya memilih untuk memfailkan saman ini," kata kumpulan dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dalam saman tersebut, Mahmud menuntut pemeriksaan akaun melibatkan CMS dan lima anak syarikatnya iaitu Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, Oiltools International Sdn Bhd, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd.

 

Menurut Mahmud dalam permohonan itu, beliau tidak akan mendedahkan maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan tersebut.

 

CMS berkata, kumpulan sedang berunding dengan penasihat undang-undangnya dan akan memberi respons terhadap saman berkenaan untuk melindungi kepentingannya.

 

Kumpulan itu menambah, saman tersebut dijangka tidak memberi kesan kewangan atau operasi yang besar kepada kumpulan. - DagangNews.com