Mahkamah perintahkan MSM, Ranhill Water selesai cara damai pertikaian projek kilang gula di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah perintahkan MSM, Ranhill Water selesai cara damai pertikaian projek kilang gula di Johor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan MSM Malaysia Holdings Berhad dan Ranhill Water Technologies Sdn Bhd menyelesaikan pertikaian undang-undang secara rundingan.


Arahan itu dikeluarkan hakim ketika sesi pengurusan kes pada 5 Mac 2026, dengan kedua-dua pihak diberikan tempoh sehingga 10 Mac 2026 untuk memaklumkan perkembangan kepada mahkamah tersebut.


Berdasarkan keputusan itu, dua syarikat berkenaan diarahkan melaksanakan proses perbincangan yang dirujuk mahkamah mengenai usaha rundingan bagi mencapai penyelesaian kes mereka secara baik.


Isu pertikaian tersebut bermula pada Julai 2024 dan berkait dengan projek yang bernilai jutaan ringgit melibatkan pembangunan kilang penapisan gula milik MSM sendiri di Tanjung Langsat, Johor.


Dalam perkembangan berkaitan, MSM memaklumkan prosiding undang-undang yang sedang berjalan itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap operasi kumpulan berkenaan setakat ini.


Walaupun mahkamah menggalakkan penyelesaian melalui mediasi, tarikh perbicaraan asal dijadualkan berlangsung antara 1 hingga 4 Disember 2026 adalah kekal seperti yang ditetapkan buat masa ini.


Sekiranya rundingan tersebut gagal mencapai penyelesaian, kedua-dua pihak dijangka kembali ke mahkamah pada 28 April 2026 bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung prosiding kes berkenaan.


Kes pertikaian itu turut mendapat perhatian ramai kerana melibatkan dua entiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan FGV Holdings Berhad sendiri merupakan pemegang kepentingan utama dalam MSM.


Sementara Ranhill Water Technologies merupakan anak syarikat kepada Ranhill Utilities Berhad, yang turut ada dipegang oleh pihak kerajaan Johor dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd. - DagangNews.com