KUALA LUMPUR 4 April - Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan sebuah syarikat pemborong makanan sejuk beku membayar pampasan lebih RM440,000 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah meter elektriknya didapati telah diubah.
Hakim Jamhirah Ali turut berkata, keputusan mahkamah sesyen sebelum ini adalah betul untuk mendakwa Siah Fishery Seafood Sdn Bhd sebagai bertanggungjawab kerana memasang pengapit di blok terminal di dalam alat meter berkenaan.
Beliau berkata, pengapit tersebut telah menyebabkan meter kurang merekodkan bacaan penggunaan tenaga elektrik sebenar di premis pemborong berkenaan.
Ujian ketepatan kemudian menunjukkan hanya sebanyak 7.16 peratus tenaga yang digunakan sudah direkodkan, dengan margin kerugian mencecah 92.84 peratus.
"Ini bukan percanggahan kecil. Ia adalah petunjuk jelas elektrik telah digunakan tetapi tidak direkodkan sepenuhnya," kata Jamhirah.
Hakim tersebut turut menyatakan, salah seorang pekerja syarikat pemborong itu semasa keterangannya mengaku memasang pengapit berkenaan.
Beliau berkata, pemilik syarikat itu sendiri mengakui menggunakan peranti tersebut untuk mengurangkan caj bil elektrik premis.
“Akibatnya, mereka mendapat manfaat daripada banyak penggunaan elektrik yang tidak direkodkan sehingga menjejaskan akaun kewangan TNB,” kata Jamhirah.
Siah Fishery pada mulanya bertindak memfailkan saman terhadap TNB, dengan meminta bayaran balik sebanyak RM236,057.60.
Pemborong tersebut berkata, jumlah yang dibayar itu adalah tanpa asas kerana syarikat utiliti itu telah pun memutuskan bekalan tenaga ke premisnya pada 2022.
Bagaimanapun, mahkamah menolak pertikaian itu kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa TNB menekan syarikat itu untuk membuat pembayaran.
“Plaintif (Siah Fishery) secara sukarela membuat pengaturan pembayaran semasa sesi rundingan (dengan TNB) pada 2022,” kata Jamhirah dan menolak saman Siah Fishery dengan kos.
Hakim membenarkan tuntutan balas TNB untuk mendapatkan semula RM444,444.40 iaitu nilai elektrik tidak direkodkan yang digunakan syarikat itu. - DagangNews.com








