Mahkamah arah Sime Darby Property bayar balik RM36.23 juta kepada LLM berhubung pampasan tanah WCE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah arah Sime Darby Property bayar balik RM36.23 juta kepada LLM berhubung pampasan tanah WCE

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Julai - Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan Sime Darby Property Bhd membayar balik RM36.23 juta berserta faedah tahunan sebanyak 5% kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selepas didapati menerima pampasan melebihi jumlah yang sepatutnya bagi pengambilan tanah untuk projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keputusan tersebut susulan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memihak kepada LLM berhubung pertikaian pampasan melibatkan tujuh lot tanah yang diambil secara pengambilan balik wajib pada 2015.

 

Menurut Sime Darby Property, ketika proses pengambilan tanah itu, syarikat telah menerima pampasan keseluruhan sebanyak RM169.3 juta, terdiri daripada RM90.7 juta bagi nilai tanah dan RM78.6 juta sebagai pampasan severance and injurious affection, iaitu pampasan yang diberikan apabila pengambilan sebahagian tanah menjejaskan nilai atau kegunaan baki hartanah yang masih dimiliki pemilik asal.

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, LLM telah mencabar bayaran pampasan tambahan sebanyak RM78.6 juta itu melalui tindakan mahkamah.

 

Selepas melalui proses perundangan selama beberapa tahun serta perbicaraan semula pada awal tahun ini, Mahkamah Tinggi pada 13 Julai 2026 memutuskan memihak kepada LLM.

 

Mahkamah kemudian pada 20 Julai 2026 membuat keputusan berhubung perkara susulan, termasuk kos guaman, dan memerintahkan Sime Darby Property membayar balik RM36.23 juta kepada LLM berserta faedah tahunan sebanyak 5%.

 

Sime Darby Property berkata keputusan mahkamah itu akan memberi kesan kewangan kepada kumpulan berikutan keperluan membuat bayaran balik serta faedah yang dikenakan.

 

 

 

 

Bagaimanapun, syarikat menjelaskan kesan tersebut tidak dijangka menjejaskan operasi perniagaan atau kedudukan operasi kumpulan secara material.

 

"Syarikat sedang meneliti penghakiman tersebut dan mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk sama ada untuk memfailkan rayuan," katanya. - DagangNews.com