MAHB catat 8.9 juta penumpang Februari 2026 dipacu kukuh musim perayaan Tahun Baharu Cina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB catat 8.9 juta penumpang Februari 2026 dipacu kukuh musim perayaan Tahun Baharu Cina

PEMANDANGAN suasana Dewan Perlepasan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, Selangor. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 MacMalaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus mencatat pertumbuhan trafik penumpang yang stabil apabila merekodkan 8.9 juta pergerakan penumpang bagi Februari 2026.


Bagaimanapun, operator lapangan terbang berkenaan kekal berwaspada terhadap perkembangan geopolitik global khususnya di rantau Timur Tengah yang boleh menjejaskan sektor penerbangan.


Jumlah pada bulan itu menjadikan keseluruhan pergerakan penumpang bagi dua bulan pertama 2026 mencecah 18.3 juta, meningkat 5.8% tahun ke tahun (YoY) berbanding tempoh sama tahun lalu.


"Perkembangan tersebut didorong permintaan kukuh bersempena dengan sambutan musim perayaan Tahun Baharu Cina serta penambahan laluan dan kekerapan penerbangan," kata MAHB dalam kenyataan.


Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, prestasi awal tahun menunjukkan permintaan perjalanan udara kekal mampan disokong jaringan penerbangan yang semakin berkembang.


Walaupun jumlah penumpang meningkat, standard perkhidmatan kekal konsisten, termasuk pengiktirafan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Kedah sebagai Lapangan Terbang Terbaik Asia Pasifik.


Terminal tersebut jelas beliau, menang bagi kategori dua hingga lima juta penumpang untuk kali yang kelima berturut-turut di bawah Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2025.
 

MAHB


"Sepanjang Februari lalu, beberapa syarikat memperkenalkan laluan baharu termasuk penerbangan secara penyewaan oleh Greater Bay Airlines dari Hong Kong ke Terminal 2 KLIA," tambah Mohd Izani.


Selain itu, ada perkhidmatan Chine Eastern Airlines dari Hefei, manakala Batik Air Malaysia memulakan laluan Kota Kinabalu–Singapura, dan Firefly dengan penerbangan sewaan Tawau–Nanjing.


Di samping itu jelas beliau, dua operator udara dari China, Spring Airlines pula melancarkan laluan Pulau Pinang–Guangzhou, diikuti oleh Xiamen Airlines bagi laluan Kuala Lumpur–Hangzhou.


Dalam tempoh sama kata Mohd Izani, syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia serta Batik Air meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi domestik dan serantau.


"Antaranya seperti Kuching, Johor Bahru, Tawau dan Sibu yang dilaksanakan oleh operator berkenaan bagi memenuhi trend lonjakan permintaan tinggi setiap kali musim perayaan utama," tambah beliau.


Dari segi operasi pada Februari 2026, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kekal sebagai hab utama dengan 5.5 juta penumpang, khususnya bagi laluan Asia Tenggara, China dan hab serantau lain.


Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Sabah turut mencatat aliran penumpang yang stabil dengan 760,620 pergerakan, meningkat kira-kira 1.3% berbanding Januari 2026.


MAHB menegaskan akan terus memantau perkembangan global yang berpotensi memberi kesan kepada industri, sambil memastikan operasi rangkaian lapangan terbangnya kekal selamat. - DagangNews.com