Maharani Freeport dilancarkan dengan potensi pelaburan RM144 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maharani Freeport dilancarkan dengan potensi pelaburan RM144 bilion

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Nov - Maharani Freeport, pelabuhan bebas cukai tenaga pertama di Malaysia, secara rasmi membuka tirainya dalam satu majlis gilang-gemilang yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

 

Projek berstatus Projek Nasional itu dibangunkan oleh Maharani Energy Gateway Sdn. Bhd. (MEG) sebagai inisiatif sektor swasta sepenuhnya, dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.

 

Terletak dalam lingkungan Pelabuhan Muar di sepanjang laluan strategik Selat Melaka—koridor penghantaran minyak terbesar dunia—Maharani Freeport meletakkan Malaysia setanding hab-hab tenaga global lain.

 

 

 

 

 

 

RM144 bilion potensi pelaburan

Pengerusi Eksekutif MEG, Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman, berkata projek tersebut bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Johor dan Malaysia.

 

"Maharani Freeport ialah projek transformasi. Ia akan meningkatkan taraf hidup, mencipta peluang baharu dan menjadikan Johor pemacu ekonomi masa depan negara,” katanya.

 

Menurut beliau, pelabuhan bebas cukai tenaga itu berpotensi menarik RM144 bilion nilai pelaburan daripada pelabur global, di samping mewujudkan sekitar 45,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung, khususnya dalam sektor logistik, pembaikan kapal, pembinaan dan perkhidmatan sokongan industri.

 

Dr. Daing menegaskan Maharani Freeport bukan lagi projek atas kertas.

 

“Ia sudah beroperasi – menjalankan perdagangan minyak, penyimpanan, transhipment, blending, bunkering, perkhidmatan marin, pelabuhan laut dalam, unit penyimpanan terapung serta pemindahan kapal-ke-kapal,” jelasnya.

 

Pelancaran tersebut menghimpunkan lebih 1,500 tetamu termasuk DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor; ahli keluarga Diraja Johor; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz; serta diplomat dari lebih 30 negara.

 

Maharani Freeport

 

Pelan induk Maharani Freeport meliputi 3,200 ekar tanah tebus guna merentasi tiga pulau buatan dengan empat komponen teras:

 

1. Maharani Energy Hub

2. Maharani Deep Seaport

3. Maharani Freeport Industrial Park

4. Maharani Freeport Financial Hub

 

Dengan kedalaman semula jadi 24 meter, pelabuhan ini berkeupayaan menerima kapal gergasi termasuk Very Large Crude Carriers (VLCCs), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab maritim dan tenaga serantau.

 

Kemudahan masa depan turut merangkumi kompleks petrokimia, tenaga boleh diperbaharui, operasi STS, limbungan pembinaan dan pembaikan kapal, unit penyimpanan terapung serta platform digital berteraskan AI dan blockchain.

 

 

 

 

 

 

Insentif cukai antara paling kompetitif di rantau ini

Sebagai pelabuhan bebas cukai tenaga, Maharani Freeport menawarkan struktur insentif kukuh termasuk:

 

- 0% cukai korporat bagi syarikat berdaftar dalam Freeport.

- 3% cukai korporat untuk entiti dalam perdagangan minyak – antara yang terendah di rantau ini.

- Dasar penyertaan asing mesra pelabur.

 

Struktur ini dijangka menarik kemasukan syarikat global dan memposisikan Johor sebagai destinasi pilihan pelabur dalam ekonomi tenaga baharu. - DagangNews.com