KUALA LUMPUR 13 Mac – M Industrial Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing Group Berhad memeterai perjanjian tambahan dengan Aura Muhibah Sdn Bhd berhubung rancangannya untuk membeli tanah pegangan bebas di Kulai, Johor.
Aura Muhibah adalah anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mah Sing berkata perjanjian tambahan itu adalah untuk meminda beberapa terma dalam perjanjian jual beli dan perjanjian pembangunan terdahulu.
“Perubahan utama dalam perjanjian tambahan tersebut melibatkan jumlah lot tanah yang akan dibahagikan daripada dua lot kepada enam lot, atau bilangan lain yang dipersetujui bersama pihak berkenaan.
“Langkah ini dijangka memudahkan perancangan pembangunan projek. Lot tanah yang diubah suai terdiri daripada Plot 3 hingga Plot 8 dengan keluasan antara 8.86 ekar hingga 95.39 ekar, manakala Lot 1033 dan Lot 1080 kekal tidak berubah.
“Keseluruhan keluasan tanah kini berjumlah 419.17 ekar atau 1,696,288 meter persegi,” katanya dalam makluman tersebut.
Mah Sing menegaskan bahawa harga pembelian tanah bagi semua lot berjumlah RM273.87 juta dan nilai pasaran tanah kekal pada RM274 juta.
“Perubahan pembahagian lot ini tidak menjejaskan terma lain dalam perjanjian jual beli dan pembangunan yang sedia ada. Projek tanah ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sekitar RM2.26 bilion, menjadikannya salah satu projek pembangunan strategik Mah Sing di Johor.
“Syarikat mensasarkan pembangunan hartanah bercampur yang boleh menarik pelabur dan pembeli rumah di kawasan tersebut,” katanya.
Pengumuman ini mengikut pengumuman terdahulu Mah Sing pada 19 Disember 2025 dan 16 Februari 2026 berkaitan cadangan pembelian tanah. - DagangNews.com








