KUALA LUMPUR 25 Mac – Magna Prima Berhad melalui anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi memperoleh sebahagian tanah pembangunan di Shah Alam bernilai RM45 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata urus niaga berkenaan melibatkan anak syarikat tidak langsungnya, Magna Ecocity Sdn Bhd (MESB) serta anak syarikat milik penuh, Twinicon (M) Sdn Bhd.
“Tanah yang berkeluasan kira-kira 4.58 ekar itu merupakan sebahagian daripada tanah pembangunan lebih besar di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
“Tanah tersebut merupakan pegangan pajakan selama 99 tahun dan kini dikategorikan sebagai tanah komersial kosong yang akan dibangunkan di bawah pelan pembangunan sedia ada,” katanya dalam makluman tersebut.
Magna menjelaskan tanah itu pada asalnya dimiliki oleh MESB dan dibangunkan secara usaha sama dengan OCR Avenue berdasarkan perjanjian usaha sama yang dimeterai pada April 2022.
Di bawah perjanjian tersebut, OCR Avenue diberi kuasa untuk melaksanakan pembangunan serta menjual mana-mana komponen projek di atas tanah berkenaan.
Susulan itu, OCR Avenue kini bersetuju menjual sebahagian tanah tersebut kepada Twinicon, yang juga merupakan entiti dalam kumpulan Magna.
Menurut syarikat, pembelian itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengukuhkan pegangan aset dan memperluas portfolio pembangunan hartanah.
Magna berkata, harga pembelian RM45 juta itu ditentukan berdasarkan asas “willing buyer willing seller” serta mengambil kira nilai indikatif pasaran dan hak minimum yang diperuntukkan di bawah perjanjian usaha sama.
Dari segi pembayaran, Twinicon akan membuat bayaran deposit sebanyak RM4.5 juta manakala baki RM40.5 juta perlu dijelaskan dalam tempoh empat bulan dari tarikh perjanjian.
Syarikat itu berkata pembelian tersebut akan dibiayai melalui dana dalaman dan/atau pinjaman bank.
Dari sudut kesan kewangan, Magna menjangkakan urus niaga ini tidak memberi impak material kepada struktur modal, namun berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Urus niaga ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada kelulusan pecah sempadan tanah serta pemindahan hak milik. - DagangNews.com








