KUALA LUMPUR 14 April – MAG Holdings Berhad mengukuhkan langkah pengembangan serantau apabila secara rasmi membuka kilang pemprosesan makanan baharu di Shanghai, menandakan peralihan strategik kumpulan daripada pemain akuakultur kepada pengeluar makanan bersepadu.
Majlis perasmian kilang tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyifatkan pelaburan berkenaan sebagai langkah penting dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan serantau serta agenda keterjaminan makanan.
Kilang baharu itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan Tonghua Group dengan nilai pelaburan kira-kira RM174 juta dan siap dibina dalam tempoh 11 bulan.
Menurut MAG Holdings, kilang berkenaan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk sedia untuk dimasak (RTC) dan sedia untuk dimakan (RTE) merangkumi kategori makanan laut serta daging, termasuk produk berasaskan ayam dan lembu.
“Selain memenuhi pasaran domestik China, produk dari kilang tersebut turut disasarkan untuk pasaran eksport serantau dan antarabangsa, selaras dengan strategi kumpulan memperluaskan kehadiran global.
“Kilang berkenaan juga dilengkapi kapasiti penyimpanan sejuk beku sebanyak 100,000 tan, penyimpanan ambien 10,000 tan serta keupayaan pemprosesan daging segar melebihi 80 tan sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari sudut operasi lebih terperinci, kilang itu turut mempunyai lebih 50 tan sehari kapasiti khusus bagi produk daging lembu dipotong serta lebih 30 tan sehari bagi produk diproses dan berperisa, selain turut menyokong pembangunan produk OEM untuk sektor perkhidmatan makanan, runcit dan e-dagang.
Kemudahan logistiknya pula merangkumi kapasiti yard sehingga 400 TEU serta 50 ruang pemunggahan, selain sokongan operasi ‘bonded warehousing’ yang membolehkan proses import, pemprosesan nilai tambah dan eksport semula dilakukan dengan lebih cekap.
Lokasi kilang di kawasan Lin-gang Special Area turut memberikan kelebihan strategik termasuk insentif zon bebas cukai, kemudahan perdagangan serta kecekapan rantaian bekalan.
Pengerusi Eksekutif MAG Holdings, Ng Min Lin berkata kilang itu adalah satu evolusi penting syarikat daripada pemain akuakultur utama kepada kumpulan pemprosesan makanan bersepadu yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, kerjasama dengan rakan strategik tempatan, Tonghua Group serta sokongan pihak berkuasa Shanghai memainkan peranan penting dalam menjayakan projek tersebut.
“Syarikat turut berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan di Shanghai khususnya di Lin-gang Special Area atas sokongan dalam memudahkan pelaburan serta operasi di kawasan tersebut,” katanya. - DagangNews.com








