KUALA LUMPUR 4 Mei – MAG Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih selepas cukai mencecah RM198.1 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, faktor utama yang mengheret kepada fasa kerugian berkenaan adalah disebabkan oleh peruntukan sekali sahaja berjumlah RM248.9 juta.
Ia membabitkan pinjaman yang diberi kepada bekas anak syarikatnya, Henan Xinghe Oil & Fat Company Limited (HXOF) setelah penilaian semula dilaksanakan terhadap keupayaan pembayaran balik.
"MAG menegaskan peruntukan tersebut disalurkan kerana ia merupakan item yang bukan tunai, dan subsidiari ini mampu membayar semula hutang berkenaan dalam tempoh ditetapkan," kata kumpulan itu.
Walaupun mencatatkan kerugian bersih, pendapatan kumpulan melonjak sebanyak 70.3% kepada RM519.4 juta dalam tempoh 18 bulan itu, berbanding RM305.1 juta bagi tahun kewangan 12 bulan sebelumnya.
Peningkatan pendapatan ini didorong oleh tempoh kewangan yang lebih panjang serta permintaan lebih mampan daripada pasaran tempatan dan eksport bagi produk akuakultur premium syarikat berkenaan.

Bagaimanapun jelas MAG, untuk tahun kewangan sebelumnya (FY24), kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan bersih yang mencecah RM32.7 juta, berbanding kerugian bersih RM198.1 juta bagi FY25.
Dalam pada itu, melihat ke hadapan, Pengerusi Eksekutifnya, Ng Min Lin, menyatakan, kumpulan kekal berwaspada tetapi optimis terhadap prospek pertumbuhan syarikat bagi tahun kewangan berikutnya.
"Syarikat ini akan terus memperkukuhkan model perniagaan bersepadu secara vertikal, iaitu daripada penternakan hingga ke pemprosesan dan pengedaran, bagi menangani ketidaktentuan pasaran," katanya.
Strategi utama MAG selepas ini ujarnya, merangkumi pelaburan dalam teknologi akuakultur termaju dan pengembangan ke segmen produk nilai tambah tinggi seperti sedia dimasak dan sedia untuk dimakan.
Usaha ini bagi menembusi pasaran antarabangsa lebih luas, dan kumpulan juga mengukuhkan kapasiti pengeluaran melalui operasi di Tawau, Sabah bagi meningkatkan skala ekonomi. - DagangNews.com








