KUALA LUMPUR 25 Mac — MAG Holdings Berhad berdepan risiko kehilangan daya saing susulan kenaikan harga jualan purata (ASP) serta pengukuhan nilai ringgit, menurut TA Securities dalam notanya hari ini.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut yakin kumpulan berkenaan terus mengorak langkah strategik dengan pelaburan baharu di pasaran China bagi menyokong pertumbuhan dalam tempoh jangka panjang.
Kenaikan ASP yang agresif sebelum ini katanya, dikhuatiri menjejaskan pasaran, khususnya apabila pelanggan mula mempertimbangkan pembekal alternatif dari Vietnam sekiranya harga terus meningkat.
“Apabila ringgit mengukuh ke paras RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), MAG mengambil keputusan untuk menghentikan kenaikan ASP bagi mengekalkan daya saingnya,” kata TA Securities.
Bagi tempoh suku berakhir Disember 2025, keuntungan teras kumpulan tersebut melonjak 20.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM20.1 juta, disokong oleh impak pertukaran mata wang asing yang positif.
Keuntungan kasar jelasnya, turut naik sebanyak 71.9%, mengatasi pertumbuhan hasil kira-kira 49.5%, dengan 60% hasil dijana dalam dolar AS melalui eksport ke Korea Selatan, Taiwan, Australia dan China.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, sebanyak 60% kos jualan MAG juga diniagakan dalam mata wang sama, sekali gus menjadikan kesan pertukaran asing (forex) ketika ini lebih bersifat dua hala.
"Kami menjangkakan gangguan penghantaran global akibat konflik di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada pengeksport Malaysia seawal suku kedua 2026 jika berlarutan," ujar TA Securities.

Sementara itu jelasnya, projek kilang pemprosesan makanan kumpulan tersebut yang bernilai RM100 juta di Shanghai, China ketika ini dalam pembinaan dan dijangka dapat disiapkan menjelang suku kedua 2026.
Kilang tersebut tambah firma tersebut akan mempunyai kapasiti pengeluaran mencecah sebanyak 10,000 tan setahun, menghasilkan produk makanan yang sedia dimakan untuk pasaran China dan serantau.
TA Securities namun meramalkan projek ini mencatat kerugian awal RM2 juta hingga RM3 juta bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 sebelum beralih kepada keuntungan sekitar RM20 juta menjelang 2028.
"Dari sudut kewangan, kunci kira-kira MAG menjadi lebih ramping selepas kumpulan tersebut membuat pelupusan penuh pinjaman yang berjumlah RM244 juta kepada bekas subsidiari di China," katanya.
Langkah tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, menyebabkan dana pemegang saham susut kira-kira 26.3% kepada RM653.8 juta, manakala rizab boleh agih menurun kepada sebanyak RM18.1 juta.
Bagaimanapun, pengurusan menegaskan komitmen untuk mengekalkan pembayaran dividen tahunan, yang secara purata 0.1 sen sesaham sejak tahun kewangan 2023, dengan kos kira-kira RM2 juta setahun.
Justeru TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MAG dan harga sasaran 21 sen, berdasarkan unjuran lapan kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2027.
"Kami menyemak unjuran hasil FY26 dan FY27 turun 5% bagi diambil kira kerugian awal projek baharu, sebelum menaikkan unjuran FY28 sebanyak 34% sejajar penggunaan kilang itu," katanya. - DagangNews.com








