MAG beri staf bonus sehingga 2½ bulan susulan keuntungan tahun kedua berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG beri staf bonus sehingga 2½ bulan susulan keuntungan tahun kedua berturut-turut

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 April — Malaysia Aviation Group Berhad (MAG), akan mengagihkan sehingga 2½ bulan gaji sebagai bonus kepada pekerja selepas mencatatkan keuntungan tahunan kedua berturut-turut, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kapten Izham Ismail.


Beliau berkata, syarikat induk penerbangan nasional Malaysia Airlines Berhad itu bakal menawarkan bonus lebih kecil tahun ini kerana ia melaporkan pendapatan lebih rendah untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.


MAG pada 2024 pernah memberikan bonus kepada kira-kira 13,000 kakitangannya sehingga ada yang mencecah enam bulan gaji susulan keuntungan kumpulan itu untuk FY23 namun kadarnya berbeza-beza bergantung kepada prestasi setiap pekerja.


Pada Februari 2025, MAG telah memberi amaran bahawa ia mungkin mengalami kerugian hasil untuk FY24, terutamanya disebabkan pengurangan kapasiti sebanyak 18 peratus merentasi rangkaiannya pada suku keempat 2024.


Situasi itu menjejaskan sejumlah 6,388 penerbangan terdiri daripada 4,784 penerbangan domestik dan 1,604 penerbangan antarabangsa serta satu juta pelanggan dengan memadamkan kebanyakan keuntungan diperolehnya dalam tiga suku pertama.


Bagaimanapun, kumpulan itu berjaya mengelak kerugian pada FY24, dengan sebahagian besarnya disebabkan faktor pembalikan kemerosotan aset berjumlah RM426 juta yang mulanya diiktiraf ketika wabak Covid-19 pada 2020.


Hasilnya, MAG melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM54 juta untuk FY24, turun kira-kira 93 peratus daripada RM766.19 juta yang pernah direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Malaysia Airlines


Ia melaporkan keuntungan operasi bersih untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan mencatatkan sebanyak RM113 juta pada FY24, pengurangan berbanding RM890 juta pada FY23 dan RM556 juta pada FY22.


Jumlah hasil susut 1 peratus kepada RM13.68 bilion daripada RM13.85 bilion pada FY23. 


MAG melaporkan penurunan 3 peratus dalam hasil penumpang kepada RM10.92 bilion berbanding RM11.27 bilion pada FY23, tetapi menyaksikan hasil kargo meningkat 7 peratus kepada RM1.51 bilion daripada RM1.41 bilion.


Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Boo Hui Yee berkata, bahawa sekiranya MAG tidak melaksanakan pengurangan kapasiti proaktif pada tempoh 4QFY24, keuntungan bersih setahun penuh kumpulan itu akan menjadi RM585 juta.


Anggaran kerugian pendapatan daripada pengurangan kapasiti berjumlah RM759 juta, manakala kesan hasil terhadap sentimen pasaran negatif ialah RM72 juta, tambahnya.


Pengurangan kapasiti pada 4QFY24 berikutan beberapa siri gangguan perkhidmatan seperti kelewatan dan pembatalan penerbangan.


Ia didorong oleh gangguan rantaian bekalan, masa penyelenggaraan lanjutan dan kelewatan dalam penghantaran pesawat baharu, serta pengurangan tenaga kerja. - DagangNews.com