Macrovalue sasar terbit IPO dalam tiga tahun, dianggar raih hasil gabungan lebih RM7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Macrovalue sasar terbit IPO dalam tiga tahun, dianggar raih hasil gabungan lebih RM7 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Mei — Macrovalue menyasarkan penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi dengan jangkaan mampu untuk meningkatkan hasil gabungan kepada RM7 bilion pada masa penyenaraian itu.


Kumpulan peruncitan yang memiliki rangkaian pasar raya Cold Storage, Giant dan Mercato di Malaysia itu berkata, rancangan tersebut susulan pengambilalihan semua cawangan Cold Storage dan Giant di Singapura daripada DFI Retail Group pada Mac 2025.


Pemilik bersama Macrovalue, Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, pihaknya menumpukan pada penciptaan nilai menjelang penyenaraian yang berpotensi meletakkan syarikat sebagai salah satu pengendali runcit terbesar untuk pelabur umum secara tempatan.


"IPO itu berada di hadapan dan sudah tentu dalam radar dengan mengambil masa kira-kira tiga tahun namun sementara itu, tumpuan pembinaan nilai melalui kos dioptimumkan serta meningkatkan infrastruktur teknologi maklumat kami," katanya dalam satu sidang akhbar.


Penilaian IPO itu secara khusus kata kumpulan tersebut, masih belum ditentukan tetapi mereka menjangkakan untuk meningkatkan hasil gabungan rangkaiannya kepada RM7 bilion semasa penyenaraian iaitu peningkatan berbanding RM5.6 bilion pada ketika ini.


Pelan itu diusahakan berdasarkan sentimen pelabur mula memilih saham pengusaha runcit selepas kejayaan 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Berhad pada 2024 meraih IPO berjumlah RM2.36 bilion dalam salah satu penyenaraian terbesar tahun tersebut.


Sementara itu, Eco-Shop Marketing Berhad yang dijadualkan untuk membuat penampilan sulung dagangannya di Pasaran Utama bursa pada 23 Mei 2025 dengan jangkaan berpotensi mengumpul IPO sehingga mencecah sebanyak RM1 bilion.


"Bursa Malaysia sangat aktif sekarang dengan 2024 sendiri merupakan tahun rekod untuk IPO, dan kami percaya Malaysia adalah platform yang baik untuk mengumpul modal," tambah Andrew sambil menambah, KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd juga berpotensi disenaraikan.


Bagaimanapun katanya, masih ada kerja yang perlu dilakukan terutama isu penyelesaian penyewa daripada pengambilalihan dijangka tamat menjelang September 2025 dan selepas itu, Macrovalue boleh mula bertindak menyusun strategi merangkumi pelbagai perkara,


Kumpulan itu baru-baru ini memperoleh operasi Giant dan Cold Storage di Singapura daripada DFI Retail Group dalam perjanjian S$125 juta (RM415 juta), sebahagiannya dibiayai oleh Affin Bank Berhad melalui jentera tujuan khas, Macrovalue Six Sdn Bhd.


Daripada jumlah kemudahan itu, sebahagian telah diperuntukkan untuk modal kerja dan pembesaran kedai selain Macrovalue merancang untuk membuka enam cawangan Cold Storage baharu di Singapura dan telah menandatangani sejumlah 12 kedai baharu di Malaysia.


Langkah tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan bilangan rangkaian pasar raya besar Giant di seluruh Malaysia kepada 100, bertambah daripada 96 pada masa ini. - DagangNews.com