KUALA LUMPUR 19 Jan — M&A Equity Holdings Berhad mengesahkan subsidiari tidak langsungnya 75%, Darul Majumas Sdn Bhd, diletakkan di bawah penggulungan sukarela berkuat kuasa 19 Januari 2026.
Anak syarikat itu yang diperbadankan pada 2 Ogos 2011 sebelum ini terlibat aktiviti pembangunan hartanah, namun menghentikan operasi sejak Julai 2025 dan berada dalam keadaan tidak aktif.
Kata kumpulan tersebut, Darul Majumas mempunyai modal saham terbitan dan berbayar sebanyak RM17.5 juta, merangkumi 56 juta saham biasa, namun bukan merupakan subsidiari utama M&A Equity.
"Bagi tujuan penggulungan, Datuk Seri Dr Chee Hong Leong JP dan Ng Wei Ping, yang juga merupakan pengarah Darul Majumas, telah dilantik sebagai pelikuidasi," katanya kepada Bursa Malaysia.
Langkah penutupan ini tambahnya, diambil berikutan kumpulan tidak berhasrat mengaktifkan semula, selain sebagai usaha mengurangkan masa pentadbiran dan kos penyelenggaraan anak syarikat.
Dari segi kewangan, penggulungan tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap aset bersih sesaham, nisbah gearan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Syarikat turut memaklumkan yang Kiara Susila Sdn Bhd memiliki baki 25% kepentingan ekuiti dalam Darul Majumas, dengan Wei Ping dan Hong Leong merupakan pengarah Kiara Susila.
Pada masa sama, Hong Leong turut mempunyai 20% ekuiti dalam syarikat tersebut, namun selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama lain mempunyai kepentingan dalam penggulungan itu.
Lembaga pengarah M&A Equity menegaskan bahawa selepas mempertimbangkan semua aspek, penggulungan Darul Majumas adalah selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com








