Luno lancar dompet stake keenam pelaburan mata wang kripto tawar ganjaran tertinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Luno lancar dompet stake keenam pelaburan mata wang kripto tawar ganjaran tertinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Mei — Aplikasi pelaburan mata wang kripto global, Luno melancarkan dompet stake keenam dikenali sebagai ATOM menerusi pautan Cosmos dan membolehkan pemegang aset digital mendapatkan sehingga 11 peratus setahun ke atas permodalan mereka.


Bursa yang menawarkan fungsi Staking itu berkata, para pelabur bertindak mengambil ATOM sebelum 16 Jun 2025 turut berpeluang menerima ganjaran tambahan sehingga 18 peratus setahun melalui platform aset mata wang digital antarabangsa berkenaan.


Katanya, ATOM diperkenalkan pada 15 Mei 2025, selepas kejayaan fungsi stake Polkadot (DOT) dan NEAR Protocol (NEAR) yang masing-masing baru sahaja dilancarkan Luno tahun ini pada tarikh hampir serentak iaitu 22 April 2025 dan 29 April 2025.


"ATOM juga menawarkan ganjaran tertinggi antara enam aset digital tersedia untuk stake iaitu sehingga 11 peratus setahun selepas pertengahan Jun 2025 berbanding lima sebelumnya adalah kurang lapan peratus," katanya dalam kenyataan.  

 

Staking digunakan dalam beberapa rangkaian mata wang kripto sebagai cara untuk pengesahan transaksi dengan pelabur memperoleh token tambahan sebagai ganjaran apabila mengunci aset digital mereka yang digunakan sebagai stake.


Langkah itu kata Luno, bagi memastikan transaksi mengikut peraturan rangkaian dengan mekanisme konsensus ini menggerakkan platform kripto utama iaitu Cosmos (ATOM), Ethereum (ETH), Solana (SOL), Cardano (ADA), Polkadot (DOT) dan NEAR Protocol (NEAR).


Artikel berkaitan: Luno perkenalkan fungsi Stake Ethereum patuh Syariah pertama di dunia kepada rakyat Malaysia


Pengurus Negara Luno untuk Malaysia, Scarlett Chai dalam kenyataan itu berkata, pelanggan boleh melabur dalam mana-mana mata wang kripto yang disokong dan melakukan stake mereka secara mudah kerana ia menawarkan pengalaman lancar.


"Kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengembangkan pegangan kripto mereka secara pasif dan membina kekayaan jangka panjang. Itulah sebabnya kami sentiasa memperluas fungsi Stake kami untuk melibatkan lebih banyak mata wang kripto,” katanya.


Setiap kripto digunakan untuk staking akan kekal dalam dompet pelanggan pada setiap masa dan transaksi boleh dibuat dengan nilai minimum aset digital sebanyak RM1 manakala ganjaran dikreditkan secara automatik dalam tempoh satu hingga tujuh hari.


Scarlett memberi jaminan, tiada tempoh tetap dan tiada yuran tersembunyi selain pelanggan boleh melakukan staking atau membatalkannya pada bila-bila masa serta pelabur mengembangkan pegangan mereka dengan lebih cepat dari masa ke masa.


"Bagaimanapun, perlu diingatkan yang harga mata wang kripto boleh berubah-ubah, jadi walaupun kenaikan harga itu akan membawa keuntungan besar, penurunan harga turut dapat mengurangkan nilai ringgit pegangan seseorang,” ujarnya.


Beliau menekankan yang Luno menawarkan cara yang lebih efisien dan mudah kepada pelabur untuk mengembangkan pegangan kripto mereka dengan selamat selaras peranannya sebagai bursa aset digital yang mengutamakan inovasi, pematuhan dan perlindungan pelabur.


Luno kata Scarlett, turut melaksanakan proses penyaringan yang amat komprehensif apabila menambah aset yang baharu untuk tujuan pelaburan atau perdagangan, berdasarkan kriteria teknikal, kawal selia dan perundangan secara ketat. - DagangNews.com