LUMUT 27 Sept - Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang berjalan melalui fasa seterusnya apabila reka bentuk terperinci (detailed design) untuk projek kapal disiapkan.
Penyerahan reka bentuk terperinci tersebut telah disempurnakan pada 23 September lalu di limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini.
LUNAS dalam kenyataan memaklumkan, penyerahan rasmi ini menandakan peristiwa penting dalam fasa projek LCS.
Menurut kenyataan itu, pencapaian tersebut merupakan langkah penting dalam menyiapkan projek LCS bagi menyediakan asas bagi fasa pembinaan.

“Ini memastikan LCS dibina mengikut piawaian kualiti tertinggi dan memenuhi tujuan yang dimaksudkan.
“Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen LUNAS yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dalam setiap fasa projek tetapi juga mempamerkan usaha kerjasama LUNAS dan TLDM.
“Bersama-sama, kami mewujudkan semangat yang kuat, bersatu dalam dedikasi kami untuk menyempurnakan pembinaan LCS untuk negara,’ ujar kenyataan tersebut.
Majlis ini telah dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat; Pengarah Projek LCS di LUNAS, Kepten (B) Rosnizam Che Puteh dan Ketua Pengarah Projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jayasekhar Joseph.

Turut hadir ialah Pengarah Projek LCS TLDM Kejuruteraan, Kepten Ir. Malik Sulaiman, Pengarah Program LCS (Naval Group), Denise Garnier dan delegasi TLDM.
Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Oktober 2022 memaklumkan, sebanyak 94 peratus reka bentuk terperinci LCS telah disiapkan oleh pihak kontraktor.
Baki 6 peratus yang belum disiapkan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. selaku syarikat pembuat pada masa itu adalah membabitkan reka bentuk terperinci yang tidak kritikal iaitu zon kapal permukaan atas air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa mengadakan lawatan kerja ke Lumut pada Jun lalu memberitahu, pembinaan LCS yang diambil alih oleh LUNAS telah mengikut jadual yang ditetapkan.
Kapal LCS pertama, KD Maharaja Lela telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu, manakala fasa seterusnya adalah pemasangan peralatan dan pelbagai persenjataan sebelum menjalani beberapa fasa ujian seterusnya.

Antara fasa ujian yang akan dijalankan adalah ujian pelabuhan dan ujian pelayaran di laut.
Tiang mast LCS serta sistem elektronik berkaitan juga telah siap dipasang.
Ini merupakan bahagian terpenting pada kapal kelas Gowind kerana bahagian modul sensor itu umpama nadi dan penderia kapal.
Kapal LCS pertama dijadualkan akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026 manakala baki empat lagi akan disiapkan secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2029. - DagangNews.com








