KUALA LUMPUR 21 April – Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) terus memperluaskan keupayaan syarikat daripada pembinaan dan pembaikan kapal tradisional kepada pembangunan platform maritim termaju, sistem autonomi serta perkhidmatan kejuruteraan bernilai tinggi.
Usaha itu dicapai melalui beberapa kerjasama baharu yang dimeterai bersama rakan antarabangsa dan tempatan pada hari kedua penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026).
Kerjasama strategik antarabangsa LUNAS dimulakan dengan HD Hyundai Heavy Industries Co Ltd dari Korea Selatan yang akan memberi tumpuan kepada program Multi Role Support Ship serta pengukuhan aktiviti pembinaan, pembaikan dan sokongan kapal tentera laut.
Perjanjian tersebut turut merangkumi pemindahan teknologi berstruktur dan perkongsian amalan terbaik, sekali gus mengukuhkan penglibatan LUNAS dalam keseluruhan kitaran hayat program pertahanan maritim utama.
Selain itu, LUNAS turut bekerjasama dengan Hull Vane BV dari Belanda bagi inisiatif pemodenan armada menerusi teknologi hidrodinamik termaju yang mampu meningkatkan kecekapan bahan api, mengurangkan rintangan kapal serta menurunkan pelepasan karbon.

Kerjasama dengan Ocean Infinity Pty Ltd dari Australia pula memberi tumpuan kepada pembangunan sistem maritim autonomi, termasuk pembangunan dan integrasi kenderaan permukaan tanpa kru (USV) serta potensi penubuhan hab fabrikasi dan pemasangan serantau.
Di peringkat domestik, LUNAS menjalinkan kerjasama dengan Labuan Shipyard & Engineering bagi memperkukuh aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal tentera laut serta meningkatkan kesiapsiagaan operasi di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, G7 Marine Technology Sdn Bhd akan bekerjasama dalam pembangunan dan pengkomersialan teknologi USV, yang dilihat mampu memperkukuh rantaian nilai maritim autonomi negara.
MTC Engineering Sdn Bhd pula akan menyokong usaha kepelbagaian kejuruteraan LUNAS termasuk potensi penyertaan dalam program LMS Batch 3 serta aplikasi kepakaran minyak dan gas dalam sektor maritim.
Di bawah LUNAS Langkawi Shipyard, kerjasama turut dimeterai bersama MHV Holdings Sdn Bhd dan Sillinger SAS dari Perancis bagi pembangunan bot laju dan bot khas untuk kegunaan kerajaan dan komersial dengan komponen pemasangan tempatan.
Secara keseluruhannya, LUNAS menyifatkan penyertaan di DSA 2026 bukan sekadar pertukaran dokumen memorandum persefahaman, sebaliknya satu lonjakan strategik ke arah inovasi maritim, sistem autonomi dan pengukuhan keupayaan kejuruteraan negara dalam industri pertahanan laut.- DagangNews.com








