LSS6 cetus perlumbaan rebut kontrak RM15 bilion, Solarvest dan Samaiden jadi tumpuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSS6 cetus perlumbaan rebut kontrak RM15 bilion, Solarvest dan Samaiden jadi tumpuan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Julai – Pelancaran program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) dijangka mencetuskan perlumbaan merebut kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sehingga RM15 bilion, dengan Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd muncul antara syarikat yang dijangka menerima manfaat terbesar.

 

Penganalisis berkata, tender terbesar dalam sejarah program LSS itu bukan sahaja bakal mengukuhkan buku tempahan syarikat solar tempatan, malah mempercepatkan pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara menerusi kapasiti yang lebih besar serta penyepaduan mandatori Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

 

UOB Kay Hian Research berkata, pelancaran LSS6 mengukuhkan lagi prospek syarikat EPCC solar dengan peluang pengisian semula buku tempahan yang kukuh serta keterlihatan pendapatan yang lebih jelas bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Menurutnya, peruntukan kapasiti sebanyak 2.5 gigawatt (GW) bersama 1.25GW BESS melepasi jangkaan pasaran dan berpotensi menjana kira-kira RM9 bilion nilai kerja di bawah program tersebut.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor berkenaan, disokong oleh lebih 6.5GW pembangunan solar yang dirancang bagi tempoh 2026 hingga 2029.

 

UOB Kay Hian menganggarkan peluang pengisian semula kontrak EPCC bernilai antara RM13 bilion hingga RM23 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang menerusi pelaksanaan LSS6 dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Corporate Renewable Energy Supply Scheme).

 

Antara saham pilihan firma itu ialah Solarvest Holdings Bhd, Pekat Group Bhd dan Northern Solar Holdings Bhd.

 

Solarvest, Samaiden dijangka manfaat paling besar

RHB Research turut mengekalkan penarafan "overweight" terhadap sektor tenaga dengan menjangkakan Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd menjadi penerima manfaat terbesar berdasarkan rekod pelaksanaan kukuh dalam siri program LSS terdahulu.

 

Firma itu menganggarkan Solarvest mampu menguasai 20% hingga 30% bahagian pasaran, manakala Samaiden berpotensi memperoleh antara 10% hingga 15%, sekali gus menyokong pertumbuhan buku tempahan kedua-dua syarikat.

 

Menurut RHB Research, jumlah perbelanjaan modal projek LSS6 boleh mencecah RM13 bilion hingga RM15 bilion, namun penurunan harga modul solar dijangka membantu mengimbangi peningkatan kos akibat keperluan pemasangan BESS.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa persaingan bidaan yang semakin sengit berpotensi menekan pulangan projek.

 

"Walaupun syarat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan kadar pulangan dalaman (IRR) masih belum diumumkan, kami tidak menolak kemungkinan IRR projek berada pada paras pertengahan satu digit berikutan persekitaran bidaan yang semakin kompetitif," katanya.

 

NETR percepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui

CGS International Research menyifatkan LSS6 sebagai satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Menurut firma itu, termasuk LSS6, jumlah kuota solar berskala utiliti yang diumumkan sejak pelancaran NETR pada pertengahan 2023 kini mencecah 6.7GW, hampir tiga kali ganda berbanding keseluruhan kapasiti 2.2GW yang diberikan menerusi program LSS1 hingga LSS4 antara 2016 dan 2021.

 

Perkembangan itu, katanya, membuktikan kadar pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia semakin dipercepatkan.

 

CGS International mengekalkan penarafan "overweight" terhadap sektor utiliti kerana percaya NETR telah mengubah sektor tersebut daripada sekadar menawarkan pendapatan defensif kepada pemacu pertumbuhan struktur jangka panjang yang lebih jelas.

 

Firma itu menganggarkan LSS6 sahaja mampu menjana peluang EPCC bernilai antara RM13 bilion hingga RM15 bilion, yang dijangka memberi manfaat kepada Solarvest, Samaiden, Sunview Group Bhd, Cypark Resources Bhd dan Pekat Group Bhd.

 

TA Research turut berpandangan syarikat EPCC solar bakal muncul sebagai pemenang utama dengan potensi peluang bernilai RM11 bilion hingga RM12 bilion daripada pemasangan sistem solar dan BESS.

 

Menurutnya, kontrak LSS6 dijangka mula dianugerahkan sekitar suku ketiga 2027, manakala dalam tempoh terdekat, pengisian semula buku tempahan masih disokong oleh penganugerahan kontrak LSS5+ yang sedang berjalan.

 

Persaingan sengit, prospek kekal cerah

Seorang penganalisis berkata, LSS6 merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda peralihan tenaga Malaysia kerana bukan sahaja menawarkan kapasiti lebih besar, malah memperkenalkan integrasi BESS secara meluas bagi meningkatkan kestabilan grid dan menyokong penembusan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi.

 

Menurut beliau, walaupun persaingan harga dijangka mengehadkan margin keuntungan, jumlah projek yang bakal ditawarkan dalam beberapa tahun akan datang dijangka terus menyokong pertumbuhan sektor serta minat pelabur terhadap syarikat berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

 

Pelaksanaan LSS6 juga dilihat mengukuhkan komitmen kerajaan dalam mempercepat pembangunan kapasiti tenaga hijau, sekali gus menyediakan saluran pertumbuhan jangka panjang kepada pemaju dan kontraktor yang mempunyai rekod pelaksanaan kukuh dalam sektor solar. - DagangNews.com