KUALA LUMPUR 8 April — LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) membuat laporan polis terhadap Hydroshoppe Sdn Bhd berhubung isu pertikaian konsesi pengendalian Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang dimiliki oleh kerajaan.
Laporan tersebut difailkan unit milik 70 peratus Lim Seong Hai Capital Berhad itu pada 1 April 2025, susulan LSHSM tidak dapat mengambil alih operasi menara berkenaan daripada Hydroshoppe dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).
LSHSM pada 11 Mac 2025 memperoleh perjanjian konsesi dengan kerajaan persekutuan untuk mengendalikan, mengurus dan menyelenggara menara ikonik berkenaan, selama tempoh 20 tahun mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2045.
Bagaimanapun, Hydroshoppe dan MKLSB memulakan tindakan undang-undang termasuk terhadap LSHSM dan kerajaan, kerana mereka mendakwa berlaku pelanggaran kontrak serta salah laku yang membawa kepada pemberian konsesi kepada LSHSM.
Plaintif mahu konsesi dipindahkan semula kepada mereka, serta defendan perlu membayar sebanyak RM20.13 juta sebagai kerugian dan ganti rugi, dikira pada kadar faedah tahunan lima peratus, selain ganti rugi am untuk dinilai.
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman dipetik sebagai berkata bahawa Kementerian Komunikasi telah memaklumkan kepada pengendali terdahulu, Hydroshoppe dan MKLSB, seawal Julai 2024 mengenai pengambilalihan pengurusan Menara KL oleh LSHSM.
Beliau juga menyatakan bahawa kementerian tersebut telah memberi jaminan bahawa operasi menara tetap diteruskan tanpa gangguan, dengan peralihan akan dirancang dan diselaraskan untuk menjaga kepentingan awam.
Khairil juga menekankan bahawa LSHSM terus menanggung kerugian kewangan setiap hari disebabkan isu kelewatan dalam pengambilalihan operasi, walaupun syarikat itu memilih untuk tidak mendedahkan jumlah tertentu.
Pada masa ini kata beliau, tiga keutamaan LSHSM ialah memastikan semua pekerja menerima gaji, bekerjasama dengan kerajaan untuk kelancaran penyerahan, dan menjaga imej negara.
Syarikat berkenaan tambahnya, telah melanjutkan tawaran kerja kepada semua 205 kakitangan Menara KL yang sedia ada, dengan seramai 193 orang daripada mereka menerima tawaran itu.
Saham LSH jatuh sebanyak 5.5 sen atau 6.4 peratus kepada 80 sen ketika penutupan dagangan pada Isnin, yang memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM670.69 juta.
Sebelum itu, saham berkenaan telah merosot sebanyak 9.1 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 88 sen pada 21 Mac 2025. - DagangNews.com








