KUALA LUMPUR 8 Julai – Syarikat petrokimia, Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) memeterai satu perjanjian bekalan etilena selama 10 tahun yang bernilai RM12.69 bilion antara dua anak syarikat miliknya di Indonesia iaitu PT Lotte Chemical Titan Nusantara (LCTN) dan PT Lotte Chemical Indonesia (LCI).
LCT berkata, bermula 1 September ini, LCTN akan membeli sebanyak 350,000 tan etilena setahun daripada LCI.
"Ia akan digunakan sebagai bahan mentah dalam operasi pembuatan polietilena di Indonesia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
LCTN adalah syarikat pengeluar polietilena manakala LCI pula mengeluarkan produk petrokimia huluan termasuk etilena.
LCT berkata, harga pembelian akan ditentukan secara bulanan berdasarkan Indeks Etilena CFR SEA terbitan Independent Commodity Intelligence Services (ICIS), ditambah dengan premium yang telah dipersetujui.
"Nilai transaksi tersebut tertakluk kepada turun naik harga bulanan memandangkan etilena merupakan komoditi dagangan, namun dianggarkan bernilai AS$2.99 bilion sepanjang tempoh 10 tahun.
Syarikat itu berkata, urus niaga tersebut akan dibiayai melalui dana dalaman serta kemudahan pembiayaan luar.
"Perjanjian ini akan menjamin bekalan bahan mentah yang berterusan dan memberi kelebihan kos memandangkan kedudukan geografi LCI yang berdekatan dengan fasiliti pengeluaran LCTN.
"Kecekapan logistik dan jaminan bekalan adalah faktor penting dalam memastikan daya saing jangka panjang LCTN dalam pengeluaran polietilena, berbanding sumber bekalan import lain," katanya.
Urus niaga ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham LCT yang tidak berkepentingan pada mesyuarat agung luar biasa akan datang.
Lotte Chemical Corporation, pemilik 75.86% pegangan dalam LCT dan 24% dalam LCI, dikategorikan sebagai pihak berkepentingan dan akan berkecuali daripada mengundi.
Tiga pengarah LCT iaitu Jang Seon Pyo, Yu Seung Yong dan Park Jae Sun turut berkecuali daripada sebarang perbincangan dan pengundian berhubung urus niaga tersebut berikutan pelantikan mereka sebagai wakil Lotte Chemical Corporation (LCC).
Kenanga Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas bagi menilai kewajaran dan kesaksamaan transaksi berkenaan.
Untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025, LCT mencatatkan kerugian suku tahunan kelapan berturut-turut, namun kerugian berkurangan berbanding tahun lalu susulan margin yang lebih baik serta sumbangan daripada syarikat sekutu di Amerika Syarikat.
Kumpulan merekodkan kerugian bersih RM125.67 juta, berbanding kerugian RM178.03 juta tahun sebelumnya, manakala hasil merosot 22.3% kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.92 bilion akibat penurunan jumlah jualan dan harga jualan purata. - DagangNews.com








