PUTRAJAYA 25 Mei – Keraguan mengenai isu keselamatan biodiesel terhadap enjin kenderaan kini tidak lagi relevan memandangkan penggunaan biodiesel 100 peratus (B100) sudah lama dipraktikkan di Eropah.
Malah, menurut Setiausaha Bahagian Biojisim dan Biobahan Api Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Ir Ts Dr Sang Yew Ngin, gergasi petroleum negara seperti PETRONAS pun turut menggunakan B100.
Tambah beliau, langkah serupa juga dilaksanakan syarikat minyak terkemuka antarabangsa, antaranya Shell yang kesemua operasi lori tangki mereka sepenuhnya diisi hanya dengan biodiesel berkenaan.
"Langkah syarikat-syarikat besar ini membuktikan bahan api berasaskan sawit adalah selamat, cekap, dan paling penting, tidak pernah merosakkan enjin diesel seperti dibimbangi oleh segelintir pihak," tegasnya.
Beliau menyatakan keyakinan itu pada Taklimat Media Berhubung Penggunaan Biodiesel B15 yang akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Jun 2026 menggantikan B10 ditetapkan kerajaan sejak 2019.
Sesi itu dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turut memberi jaminan langkah berkenaan tidak menjejaskan bekalan minyak sawit di pasaran domestik.
Yew Ngin mengulas lanjut berkata, pelaksanaan mandat B15 yang bermula awal bulan depan merupakan kesinambungan kepada kematangan industri bahan api hijau negara dan terbukti keberkesanannya.

“Ujian lapangan dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) mengesahkan penggunaan biodiesel hingga kadar B20 adalah selamat," katanya.
Malah ujar beliau, biodiesel tidak memendekkan tempoh penyelenggaraan kenderaan, dan sejak 1 Januari 2020, semua kenderaan diesel diimport ke Malaysia sudah pun diwajibkan serasi kepada penggunaan B20.
Mengulas mengenai hala tuju korporat jelas Yew Ngin, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 14 April 2026 memberikan persetujuan prinsip bagi meningkatkan mandat biodiesel nasional.
Selain itu tambah beliau, pelaksanaan B15 di semua stesen minyak di seluruh negara, dijangka memberikan impak ekonomi yang lebih besar kepada pertumbuhan industri sawit tempatan sendiri.
"Berdasarkan data, peralihan kepada B15 meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) kepada anggaran 0.801 juta tan metrik setahun, daripada 0.534 juta tan metrik bagi mandat B10," katanya.
Malaysia ujar Yew Ngin, kini memiliki kapasiti pengeluaran biodiesel nasional sangat kukuh mencecah 2.65 juta tan setahun, dipacu 19 pengeluar aktif, dengan Johor dan Selangor yang paling banyak.
Dari aspek kualiti, biodiesel Malaysia mematuhi piawaian global yang ketat termasuk Euro 5 dan Standard MS 123-5:2020, sekali gus menjamin prestasi enjin secara optimum bagi kenderaan diesel.
Peralihan kepada B15 juga jelasnya, mewujudkan persekitaran yang lebih bersih selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah sifar karbon 2050. - DagangNews.com








