KUALA LUMPUR 9 Julai – Loong Air, syarikat penerbangan dari China kini menambah laluan baharu dari Xi’an ke Kuala Lumpur dalam usahanya menyemarakkan lagi industri pelancongan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Penerbangan baharu yang menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 174 tempat duduk itu akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, penerbangan terus antara Xi’an dan Kuala Lumpur itu akan memperluas akses pelancongan, perniagaan serta pertukaran budaya, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke ASEAN dan destinasi tumpuan pelancong antarabangsa.
"Pelancaran laluan ini juga bertepatan dengan sasaran strategik Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mahu menarik lebih ramai pelancong dari China sebagai pasaran pelancong terbesar ke negara ini.
"Malaysia telah menerima 1.44 juta pelancong dari China bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan 37.8% berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis sambutan penerbangan sulung itu telah diadakan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kehadiran Soon Hin, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Samuel Lee serta wakil kanan dari Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Loong Air pula diwakili oleh Naib Presiden Perniagaan Luar Negara, Li Dong.- DagangNews.com








