Loji polisilikon baharu OTSM di Sarawak kukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji polisilikon baharu OTSM di Sarawak kukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global

KUALA LUMPUR 15 Julai - Sarawak menjadi pemangkin untuk  Malaysia muncul sebagai negara kelima di dunia yang menghasilkan polisilikon gred semikonduktor susulan pelancaran sebuah loji baharu oleh OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd (OTSM).

 

Pembinaan loji bernilai RM2 bilion itu merupakan usaha sama 50:50 antara Tokuyama Corporation dari Jepun dan OCI TerraSus dari Korea Selatan.

 

Loji tersebut akan dibina di kawasan seluas 13.7 hektar di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu yang terletak bersebelahan loji polisilikon gred solar sedia ada milik OCI TerraSus.

 

 

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif OTSM, Steve Choi, berkata loji baharu ini akan meletakkan Malaysia setaraf dengan Amerika Syarikat, Jerman, China dan Taiwan dalam pengeluaran bahan mentah berketulenan tinggi untuk sektor semikonduktor global.

 

“Pelaburan ini sangat signifikan bukan sahaja kepada syarikat malah kepada pembangunan industri kimia berteknologi tinggi di Sarawak.


“Ia akan mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan berkemahiran dan memberi ruang untuk meningkatkan kemahiran rakyat Sarawak,” katanya, lapor The Borneo Post.

 

Sasaran kapasiti pengeluaran tahunan loji tersebut ialah sebanyak 8,000 tan metrik polisilikon gred semikonduktor dengan penyiapan mekanikal dijangka pada suku pertama tahun 2027 manakala operasi komersial penuh disasarkan bermula pada Januari 2029.

 

Tambahnya, permintaan global semasa untuk polisilikon gred semikonduktor adalah sekitar 50,000 tan metrik setahun dan apabila loji OTSM beroperasi kelak, ia akan menyumbang hampir satu perenam daripada bekalan global.

 

“Sebahagian besar pengeluaran akakn dieksport ke pasaran utama seperti Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya.

 

Industri polisilikon gred semikonduktor memerlukan ketulenan 11N atau 99.999999999 % jauh lebih tinggi berbanding polisilikon gred solar yang hanya mencapai tahap 10N.

 

Ini menjadikannya bahan utama dalam penghasilan wafer silicon untuk cip mikroelektronik.

 

Beliau berkata, Sarawak dipilih kerana lokasinya yang strategik dengan pasaran Asia Timur, kestabilan politik dan infrastruktur tenaga hijau.

 

“Sebanyak 90 peratus daripada tenaga kerja syarikat adalah rakyat Sarawak dan pihak syarikat bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serta kolej vokasional untuk membangunkan bakat tempatan dalam industri kimia berteknologi tinggi,” tambahnya.

 

Setakat ini, OTSM telah menerima kelulusan kawal selia yang diperlukan termasuk lessen Kelas A daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

 

Ia akan menggunakan 70 peratus tenaga hidro melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 10 tahun dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat-syarikat dari China masih belum berjaya memasuki pasaran polisilikon gred semikonduktor dan situasi itu memberi ruang kepada OTSM untuk mengisi jurang bekalan global yang hanya berjumlah sekitar 50,000 tan metrik setiap tahun.

 

“Dalam landskap semikonduktor yang semakin terkesan oleh peralihan geopolitik global, terutamanya penjarakan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China, Malaysia khususnya Sarawak kini berada pada kedudukan yang sangat strategik.

 

“OTSM adalah usaha sama antara Korea Selatan dan Jepun yang tidak melibatkan sebarang pemilikan dari China, justeru tidak terkesan dengan sebarang duti tambahan atau sekatan perdagangan yang dikenakan,” katanya. - DagangNews.com