Loji Banting 2 dijangka tingkatkan keuntungan TMK Chemical sehingga RM30 juta pada 2027, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji Banting 2 dijangka tingkatkan keuntungan TMK Chemical sehingga RM30 juta pada 2027, kata TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – TMK Chemical Berhad dijangka mencatat prestasi positif tahun ini susulan perkembangan pesat industri teknologi di Malaysia serta peningkatan permintaan bahan kimia yang digunakan dalam pemprosesannya, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata salah satu pemacu utama pertumbuhan TMK ialah penglibatan mereka dengan Lynas Malaysia di mana TMK membekalkan bahan kimia penting untuk pemprosesan klor alkali dan pengembangan kilang Lynas dijangka meningkatkan permintaan secara langsung.

 

“Selain Lynas, TMK merancang pengembangan kapasiti pengeluaran melalui Loji Banting 2 yang dijangka siap tahun ini. Kapasiti kilang akan digandakan, membolehkan syarikat merebut permintaan tambahan daripada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu.

 

“Permintaan untuk bahan kimia asas TMK juga kekal stabil kerana ia digunakan dalam sektor asas seperti rawatan air, sanitasi, makanan dan minuman, serta pembuatan industri. Permintaan daripada sektor ini lebih tahan terhadap turun naik ekonomi yang menyokong pendapatan syarikat,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, TMK turut mendapat manfaat daripada kepelbagaian pelanggannya dengan membekalkan bahan kimia kepada pelbagai sektor termasuk utiliti, kesihatan, pertanian, elektronik dan pembinaan. 

 

TA Securities berkata kepelbagaian ini mengurangkan risiko kebergantungan pada satu sektor sahaja.

 

“Selain bahan kimia asas, TMK menghasilkan produk bernilai tambah seperti hidrogen peroksida dan poly aluminium chloride. Produk ini menawarkan margin lebih tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan syarikat.

 

“Kecekapan operasi dan logistik TMK juga menjadi pemacu positif kerana syarikat mempunyai sistem penghantaran terus ke pelanggan, pengurusan stok yang cekap, dan kemudahan kilang yang memudahkan pengeluaran dan pengedaran bahan kimia,” katanya.

 

Syarikat mengekalkan polisi dividen stabil dengan membayar antara 30 hingga 50 peratus daripada keuntungan bersih yang bukan sahaja menarik minat pelabur, tetapi juga mengekalkan keyakinan pasaran terhadap prestasi kewangan TMK.

 

Dari segi kewangan, TA Securities berkata TMK berada dalam kedudukan tunai bersih dan nisbah kecairan yang baik, membolehkan syarikat membiayai pengembangan kapasiti tanpa beban hutang yang tinggi sekali gus memberi asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

“Pengembangan kapasiti kilang dijangka memberi impak positif terhadap keuntungan syarikat bermula tahun depan. Pada kapasiti puncak, kilang baharu dijangka menyumbang lebih RM30 juta kepada keuntungan bersih tahunan TMK.

 

“Pertumbuhan pendapatan dijangka  pada kadar purata 12% setahun selama tiga tahun akan datang, manakala keuntungan bersih dijangka meningkat 26.4% pada 2026, 21.2% pada 2027 dan 7.8% pada 2028.

 

“Dengan rancangan pengembangan kilang dan permintaan stabil untuk bahan kimia asas, kami kekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM1.76 sesaham, menawarkan potensi pulangan keseluruhan melebihi 34% termasuk dividen,” katanya. - DagangNews.com