Loh Jenkim dilantik sebagai GCEO Time dotCom, Afzal Abdul Rahim sebagai Naib Pengerusi Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loh Jenkim dilantik sebagai GCEO Time dotCom, Afzal Abdul Rahim sebagai Naib Pengerusi Eksekutif

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - TIME dotCom Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Loh Jenkim, 53 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 23 September 2025.

 

Afzal Abdul Rahim yang memegang jawatan itu sebelum ini pula dilantik sebagai Naib Pengerusi Eksekutif.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu berkata, ketika ini Jenkim bertugas sebagai Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Time dotCom.

 

Beliau adalah ahli berdaftar Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor telekomunikasi, tenaga dan perkhidmatan profesional.

 

Sepanjang berkhidmat, beliau telah memainkan peranan langsung dalam memacu strategi perniagaan, memeterai kerjasama strategik dan pelaburan serta menerajui pelbagai inisiatif organisasi.

 

Sejak menyertai TIME pada 2013, Jenkim menjadi antara tunjang utama kepimpinan kanan syarikat, khususnya dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif pertumbuhan serta peluasan rantau syarikat.

 

"Kepimpinan Jenkim dalam membentuk dan memacu dasar komersial syarikat, pelaksanaan projek transformasi serta inisiatif strategik termasuk peluasan rangkaian di ASEAN, pelaburan dalam sistem kabel dasar laut, perkongsian strategik pusat data serta penstrukturan semula model operasi telah meletakkan syarikat pada landasan kukuh bagi kejayaan jangka panjang yang mampan," katanya.

 

Sebelum menyertai TIME, beliau pernah menyandang jawatan kepimpinan di Maxis Bhd, Talisman Energy dan firma audit antarabangsa PricewaterhouseCoopers (PwC).

 

Sementara itu, dalam pemfailan berasingan kepada bursa, syarikat turut mengumumkan penukaran jawatan Afzal Abdul Rahim, 47 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kepada Naib Pengerusi Eksekutif.

 

Afzal menyertai TIME pada 2008 dan telah menerajui syarikat sebagai GCEO.

 

Beliau memiliki kepentingan langsung sebanyak 0.77% dalam TIME dan 22.35% secara tidak langsung melalui pegangan saham dalam Pulau Kapas Ventures Sdn Bhd, Global Transit International Sdn Bhd dan Megawisra Sdn Bhd menerusi Megawisra Investments.

 

Dari segi prestasi kewangan, TIME mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 2.1% dalam keuntungan bersih kepada RM112.99 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1Q2025), berbanding RM110.67 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Ia disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan data dan sambungan, khususnya dalam segmen runcit.

 

Hasil suku tahunan turut meningkat 2.6% kepada RM428.59 juta berbanding RM417.77 juta sebelumnya, didorong pertumbuhan 6.1% dalam perkhidmatan data kepada RM378.34 juta.- DagangNews.com