KUALA LUMPUR 27 Okt - Lima sidang kemuncak ASEAN yang berlangsung hari ini mencerminkan tekad rantau ini untuk melangkah ke hadapan sebagai blok ekonomi yang tangkas dan berdaya saing, dengan tumpuan kepada transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan rantaian bekalan yang kukuh.
Perjalanan diplomasi itu diteruskan melalui lima sidang utama iaitu:
- Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26
- Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28
- Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5
- Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20
- Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO, hari ini.

“ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya.
Selain itu katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan pimpinan lain dan mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin dan rakan dialog.
“Insya-Allah, dengan momentum yang dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya.
Tunku Nashrul berkata, hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan berjalan dengan lancar dan mencatat detik bersejarah buat Malaysia serta ASEAN.
Beliau menjelaskan, semalam satu lembaran baharu disaksikan apabila Timor-Leste secara rasminya diterima sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11, sekali gus melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.
“Semalam, kita telah mendengar ucapan dasar daripada Perdana Menteri sewaktu Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di mana beliau menegaskan bahawa Malaysia telah memimpin ASEAN untuk kekal bersatu, relevan dan berpaksikan rakyat.
“Penyertaan rasmi Timor-Leste ini bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara tersebut ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti,” katanya.
Selain penyertaan baharu itu, satu diplomasi keamanan turut mencatat sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya ditandatangani dengan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Tunku Nashrul, perjanjian itu menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara dan sebuah kejayaan yang berakar daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lalu.
“Langkah ini menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan, dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Semalam, Anwar mempengerusikan lima sidang kemuncak termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 dan Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 yang berlangsung secara maya.
Tunku Nashrul menambah, sidang-sidang itu berjaya menjadi wadah memperkukuh kerjasama strategik ASEAN bersama rakan-rakan strategik dan rakan dialog, memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan.
“Ini sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap yang lebih berpengaruh di pentas global,” katanya.. - DagangNews.com








