KUALA LUMPUR 5 Jun – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lianson Fleet Pte Ltd (LFPL) memeterai perjanjian usaha sama (JVA) bersama dua rakan strategik bagi menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di Singapura.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LFG berkata usaha sama itu turut melibatkan PSL Energy Pte Ltd (PEPL) dari Singapura serta Emstraits Navigation Sdn Bhd (ENSB) dari Malaysia.
Melalui perjanjian tersebut, pihak-pihak terbabit bersetuju menubuhkan Nusantara Orchid Pte Ltd (NOPL) sebagai entiti khas untuk melaksanakan cadangan pemerolehan kapal tangki 'MT High Tide'.
“NOPL akan diperbadankan di Singapura dengan modal berbayar permulaan sebanyak AS$50,000 mengikut struktur pegangan ekuiti yang telah dipersetujui bersama.
“Di bawah struktur tersebut, LFPL dan PEPL masing-masing memegang 45 peratus kepentingan manakala ENSB memegang baki 10 peratus dalam syarikat berkenaan,” katanya.
LFG memaklumkan tujuan utama penubuhan NOPL adalah untuk memiliki, mengoperasi serta menyewa atau menjalankan aktiviti sewaan ke atas kapal tersebut.
PEPL merupakan anak syarikat kepada Precious Shipping Public Company Limited, sebuah syarikat tersenarai di Thailand manakala ENSB pula terlibat dalam aktiviti pelaburan, pemajakan dan pemilikan aset maritim.
Struktur lembaga pengarah NOPL ditetapkan seramai lima orang dengan PEPL melantik dua pengarah, LFPL dua pengarah manakala ENSB melantik seorang pengarah bagi mewakili kepentingan masing-masing.
LFG menjelaskan struktur usaha sama ini membolehkan syarikat berkongsi kepakaran rakan strategik dalam bidang pemerolehan kapal, operasi komersial serta pengurusan teknikal aset maritim.
Pendekatan tersebut juga dijangka dapat mengurangkan risiko pelaksanaan, operasi dan kemasukan ke pasaran baharu, selain memastikan penggunaan modal yang lebih berdisiplin.
Menurut syarikat, pelaburan LFPL dalam NOPL akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman tanpa melibatkan sebarang terbitan saham baharu.
“Cadangan usaha sama ini tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta tahap gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
“Selain itu, tiada sebarang liabiliti termasuk liabiliti luar jangka atau jaminan akan ditanggung oleh LFG berhubung penyertaan dalam JVA tersebut.
“Cadangan usaha sama ini juga tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Pelaksanaan penubuhan NOPL dijangka disiapkan dalam suku ketiga tahun 2026, tertakluk kepada keadaan semasa serta faktor luaran yang tidak dijangka.
Lembaga pengarah LFG menyifatkan usaha sama ini sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan penyertaan kumpulan dalam sektor pemilikan kapal tangki melalui kerjasama serantau yang lebih berstruktur.- DagangNews.com








