LGMS beli 27% pegangan dalam Antarex RM22.68 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LGMS beli 27% pegangan dalam Antarex RM22.68 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Syarikat keselamatan siber, LGMS Bhd bakal memperoleh 27% kepentingan dalam syarikat perkhidmatan IT, Antarex Holdings Sdn Bhd berharga RM22.68 juta bagi mengukuhkan kedudukan serantau serta memperluas penawaran produk keselamatan sibernya.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Syarikat itu berkata, pegangan tersebut akan dibeli daripada pemegang saham sedia ada, Tan Soon Huat dan Tan Pek Loon.

 

Perjanjian ini susulan memorandum persefahaman yang dimeterai pada April lalu, yang merangkumi kerjasama dalam pembangunan produk dan penjualan silang produk serta perkhidmatan keselamatan siber di Malaysia dan rantau ini.

 

LGMS menyatakan pemerolehan itu tertakluk kepada penyusunan semula dalaman Antarex, termasuk pengambilalihan penuh ke atas dua syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Antarex Cyber Pte Ltd dan IPDC Solutions Pte Ltd.

 

Melalui langkah ini, LGMS merancang untuk memanfaatkan kehadiran pasaran serantau Antarex bagi memperkenalkan penyelesaian keselamatan siber miliknya, StarSentry, kepada pelanggan yang lebih luas di Asia Tenggara.

 

Perjanjian tersebut turut merangkumi jaminan keuntungan selepas cukai berjumlah RM24.5 juta secara kumulatif bagi tempoh tiga tahun kewangan akan datang iaitu RM7 juta pada tahun kewangan 2026, RM8.5 juta pada 2027 dan RM9 juta pada 2028.

 

LGMS akan membiayai pembelian tersebut menggunakan dana dalaman. Setakat 31 Mac, syarikat memiliki tunai berjumlah RM69.23 juta dengan pinjaman sebanyak RM740,000.

 

Langkah ini juga sejajar dengan rancangan LGMS untuk berpindah dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini.- DagangNews.com