BANGI 9 Okt - Mulai 1 Januari tahun hadapan, pengusaha premis makanan di 20 kawasan bandar tidak akan dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan mereka sekiranya gagal memastikan tandas masing-masing berada pada tahap bersih, menawan dan wangi (BMW).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata tindakan tegas itu diambil selepas pemilik premis diberi tempoh mencukupi untuk memahami dasar baharu yang diperkenalkan kerajaan.
“Semua tandas di 20 kawasan bandar, termasuk restoran, premis makanan dan minuman (F&B) serta kafe, tidak akan diperbaharui lesen perniagaannya jika gagal mencapai tahap BMW.
“Saya telah mengeluarkan notis tiga tahun lalu, iaitu pada 2023. Jadi, kita telah memberi masa tiga tahun kepada semua pengusaha untuk mematuhi syarat ini.
"Jika mereka ingin memperbaharui lesen perniagaan, kebersihan tandas akan dijadikan syarat wajib,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Nga berkata individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil mulai 1 Januari tahun depan akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam, termasuk menyapu jalan atau membersihkan longkang.
“Mulai 1 Januari 2026, individu yang didapati membuang sampah merata-rata bukan sahaja akan dikenakan kompaun sehingga RM2,000 di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret, tetapi juga boleh diperintahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 12 jam jika disabitkan kesalahan.
“Skop khidmat masyarakat ini termasuk menyapu jalan, membersihkan longkang serta membantu mencuci tandas awam,” katanya.
Kabinet pada tahun 2023 telah memutuskan bahawa premis makanan dan minuman seperti restoran, hotel dan gerai di kawasan bandar tidak akan diperbaharui lesen perniagaannya sekiranya tandas mereka didapati kotor.
Nga sebelum ini menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah di kawasan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini sebanyak 12,000 tandas awam di seluruh negara telah dinaik taraf, termasuk di sekolah, pasar, taman awam dan medan selera.
“Medan selera menunjukkan peningkatan yang baik, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kerajaan komited untuk terus mempertingkatkan kemudahan asas dan infrastruktur awam,” katanya.
Nga berkata peraturan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia agar bersikap sopan apabila pelancong bertanya arah jalan atau tempat makan yang baik. Ini merupakan misi bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








