Lebih separuh daripada eksport E&E ke AS berisiko terkena 24% tarif Trump — Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih separuh daripada eksport E&E ke AS berisiko terkena 24% tarif Trump — Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL Abdul Aziz ketika dikunjungi Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan (kiri) di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan MITI
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 April — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak menolak kemungkinan separuh daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) berisiko terjejas oleh tarif timbal balik 24 peratus.


Perkara berkenaan antara gambaran dijangkakan oleh menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta mengesahkan bahawa sebanyak 60 peratus daripada eksport Malaysia ke AS memang terdiri daripada produk E&E.


Separuh daripada barangan berkenaan pula kata beliau, terdiri barangan semikonduktor yang memang dikecualikan tarif terbaharu AS itu manakala separuh lagi adalah bukan semikonduktor.


"Justeru, hanya kira-kira 30 peratus daripada eksport (Malaysia) ke AS yang boleh dapat dikecualikan (tarif timbal balik)," kata beliau pada sidang akhbar khas MITI hari ini.


Minggu lalu, Presiden AS Donald Trump mengejutkan ekonomi global dengan perintah eksekutif bagi pelaksanaan tarif berkenaan ke atas sebahagian besar rakan dagangan negara tersebut. 

 

Malaysia diumumkan oleh pemimpin berkenaan bakal dikenakan tarif sebanyak 24 peratus dan dasar tarif timbal balik itu akan berkuat kuasa pada 9 April 2025.

 

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya konon Melaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas AS dan telah memohon penjelasan ketika dikunjungi oleh Duta Besar AS, Edgard D Kagan di pejabatnya pagi tadi. 

 

zafrul
TENGKU ZAFRUL Abdul Aziz ketika dikunjungi Edgard D Kagan (dua dari kanan) di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan MITI


Pada 2024, eksport Malaysia ke AS melonjak 23.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada rekod tertinggi baharu sebanyak RM198.65 billion manakala import pula melonjak 42.1 peratus kepada RM126.26 bilion.


Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menyatakan bahawa kebanyakan eksport produk E&E dari Malaysia ke negara tersebut adalah daripada kilang-kilang dimiliki oleh syarikat AS sendiri.


"Syarikat-syarikat AS yang mengeksport ke AS dari Malaysia, mereka memasarkan barangan perantaraan, manakala produk siap tersebut dikeluarkan di AS," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa syarikat-syarikat tempatan pula hanya melakukan pembekalan kepada syarikat AS yang berpangkalan di Malaysia.


“Jadi, kita perlu melihat impak kepada rantaian bekalan, serta pada masa sama, bagaimana ia memberi kesan kepada industri dan syarikat Malaysia pula,” katanya.


Ditanya pemberita berhubung kemungkinan puluhan ribu pekerja di negara ini bakal terjejas ekoran tarif berkenaan, Tengku Zafrul berkata, setakat ini andaian itu masih terlalu awal.


MITI tambah beliau, telah berhubung rapat dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk menilai kesan akibat pelaksanaan tarif tersebut kepada sektor berkaitan. - DagangNews.com