KUALA LUMPUR 14 Feb — Kerajaan menjangkakan lebih banyak industri di negara ini yang akan dikenakan cukai karbon apabila ia mula berkuat kuasa pada tahun depan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, buat masa ini, sektor keluli, besi dan tenaga antara yang disahkan akan terjejas oleh pelaksanaan cukai itu.
“Kemungkinan lain ialah industri simen serta minyak dan gas namun perbincangan lanjut sedang dijalankan oleh kerajaan bagi mereka yang kemungkinan terjejas disebabkan cukai tersebut.
“Kami bukan sahaja akan melihat usaha untuk menangani perubahan iklim, tetapi juga kesan kepada ekonomi dan bagaimana pihak kerajaan boleh berusaha untuk mengurangkan impak itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui para pemberita di luar acara Pelepasan Sifar Bersih 2050: Perkembangan Semasa dan Masa Depan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata kementeriannya, bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai bagaimana cukai itu boleh memberi kesan kepada industri.
“Untuk percukaian, ia dirancang bermula pada skala sederhana atau purata, seperti yang dilakukan banyak negara lain. Walau apa pun, kami mahu ia menjadi situasi menang-menang kepada semua.”
Beliau menambah bahawa Malaysia akan turut bergabung dengan negara-negara Asean lain untuk mengetuai tanggungjawab dalam memerangi perubahan iklim ke arah mencapai Pelepasan Sifar Bersih 2050.
Selain itu, beliau menambah, pengeksportan tenaga boleh diperbaharui turut akan menjadi tumpuan utama Malaysia sepanjang tahun ini. - DagangNews.com








