Lebih 76,000 kandungan di TikTok telah dipadam sejak 1 Januari - Fahmi   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 76,000 kandungan di TikTok telah dipadam sejak 1 Januari - Fahmi  

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Sept – Sebanyak 76,000 kandungan di platform TikTok telah dipadam sejak 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini susulan permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Bagaimanapun menurut beliau, terdapat 10,730 kandungan lain masih kekal dalam talian kerana didakwa tidak melanggar garis panduan komuniti platform berkenaan.

 

“Ini menunjukkan bahawa mekanisme sedia ada tidak boleh diguna pakai dan telah gagal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat bersama wakil TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC dan Jabatan Peguam Negara di Bukit Aman hari ini.

 

fahmi
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan syarikat induk platform media sosial lain termasuk Meta (yang memiliki Facebook dan Instagram) serta X (dahulunya Twitter) berhubung isu serupa.

 

Dalam pertemuan yang berlangsung selama sejam itu, Fahmi berkata kerajaan telah mengingatkan TikTok tentang kewajipannya untuk mematuhi undang-undang Malaysia.

 

Katanya, walaupun syarikat tersebut memberi jaminan bahawa beberapa langkah akan dilaksanakan, namun tiada perincian lanjut dikemukakan semasa perbincangan.

 

Salah satu mekanisme utama yang sedang dipertimbangkan ialah pelaksanaan sistem pengesahan umur yang lebih berkesan, memandangkan masih terdapat kanak-kanak bawah umur 13 tahun yang dapat mengakses aplikasi tersebut walaupun ia bertentangan dengan polisi platform itu sendiri.

 

“Saya beri mereka masa untuk meneliti permintaan kerajaan, termasuk isu-isu yang dibangkitkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM,” ujar beliau. - DagangNews.com