Lebih 70% pemaju mahu naikkan harga hartanah akibat SST – REHDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 70% pemaju mahu naikkan harga hartanah akibat SST – REHDA

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Sept – Lebih 70% pemaju hartanah bercadang menaikkan harga hartanah antara 3% hingga 5% bagi menampung kos yang meningkat, menurut tinjauan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

 

Peningkatan itu termasuk pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluas yang kini menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pemaju hartanah.

 

Kajian melibatkan 187 pemaju mendapati 62% responden menjangkakan SST akan meningkatkan kos projek secara ketara serta memberi kesan langsung terhadap operasi perniagaan mereka. 

 

Sebanyak 70% menyatakan kos pembinaan dijangka meningkat sekurang-kurangnya 3%, yang seterusnya mendorong 73% daripada mereka mempertimbangkan untuk menaikkan harga jualan hartanah.

 

Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk memperbaiki peraturan dan garis panduan SST, khususnya dalam sektor pembinaan dan hartanah yang dianggap kompleks.

 

“Walaupun hartanah kediaman dikecualikan daripada SST, hartanah komersial masih tertakluk kepada cukai ini. Dalam projek pembangunan bercampur, ia menjadi sangat sukar untuk ditafsirkan. 

 

"Bahan binaan kebanyakannya dikecualikan, tetapi sewaan jentera dan tenaga buruh yang merupakan komponen utama kos dikenakan cukai,” katanya.

 

Beliau berkata, pemaju menghadapi kesukaran besar untuk menghuraikan komponen kos secara terperinci.

 

Justeru REHDA mencadangkan pendekatan kadar SST rata 3% memandangkan komponen kos biasanya terbahagi kepada dua separuh tenaga buruh dan separuh bahan binaan.

 

Katanya, antara cadangan yang turut dikemukakan oleh REHDA termasuk pengenalan semula kredit cukai input atau bayaran balik SST yang lebih pantas bagi membantu aliran tunai pemaju.

 

"Struktur SST berlapis untuk menangani pelbagai jenis produk dan perkhidmatan dan peningkatan sistem digital bagi memudahkan interaksi dengan Jabatan Kastam dan pihak berkuasa berkaitan," katanya.

 

Di samping itu, Hon Sang turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sebelum ini terbukti berjaya merangsang pasaran melalui pengecualian duti setem bagi instrumen pindah milik.

 

“Dalam HOC 1 dan HOC 2 sebelum ini, kadar pengambilan unit adalah tinggi. Justeru, kami percaya pengenalan semula HOC mampu mencetuskan semula keyakinan pasaran dan mencipta suasana positif dalam kalangan pembeli dan pemaju,” katanya. - DagangNews.com