KUALA LUMPUR 13 Feb — Sejumlah 5,025 laman web perjudian atas talian telah disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet dari 2022 sehingga 1 Februari lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa sama, sebanyak 224,403 hantaran yang berkaitan perjudian menerusi platform media sosial juga telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Daripada jumlah tersebut ujarnya, 2,906 hantaran atau 93.14 peratus daripada kes berkenaan yang telah dialih keluar daripada Facebook sahaja dan menunjukkan Facebook ialah hab utama untuk iklan perjudian atas talian.
Langkah ini memastikan semua penghantaran mesej internet dan penyedia platform media sosial yang berdaftar wajib mematuhi kewajipan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Tata Kelakuan (Amalan Terbaik) MCMC.
“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada para pengguna,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian dalam jawapan kepada Kapten Azahari Hasan (Perikatan Nasional-Padang Rengas) yang ingin mengetahui langkah terbaharu diambil kementerian untuk memerangi perjudian dalam talian yang semakin berleluasa.
Ini termasuk apakah usaha berbentuk pemantauan, penguatkuasaan undang-undang, dan kerjasama yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa terhadap semua penyedia perkhidmatan internet dan platform digital.
Dalam soalan tambahan mengenai usaha kerajaan menghapuskan aktiviti penipuan melibatkan imej pempengaruh, Fahmi berkata MCMC komited bekerjasama dengan polis bagi mengekang kandungan tidak wajar di media sosial.
Selain itu, kata beliau, sekatan laman web dan bantuan teknikal seperti pemberian maklumat analisis forensik digital telah dilaksanakan bagi mempercepatkan proses siasatan berkaitan kesalahan perjudian dalam talian.
Mengenai perkembangan usaha terkini berkaitan langkah pelesenan media sosial, Fahmi berkata memang terdapat pelbagai reaksi yang berbeza daripada beberapa penyedia platform terbabit.
Beliau bagaimanapun berkata sejak peraturan itu dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, terdapat lebih banyak kerjasama daripada penyedia tersebut apabila mengeluarkan kandungan yang didapati melanggar undang-undang negara.
“Memandangkan kita telah melaksanakan rejim pelesenan, terdapat pelbagai reaksi daripada penyedia platform termasuk mereka yang cuba menangguhkan proses tersebut tetapi kami juga mendapat kerjasama yang lebih baik.
"Contohnya YouTube (di bawah Google) didapati banyak mengandungi iklan perjudian namun kami telah segera memohon agar kandungan itu dialih keluar kerana ada sejumlah 5,167 kandungan dilaporkan.
"Daripada bilangan itu, 5,115 iklan telah diturunkan, ini bermakna walaupun Google tidak berlesen, kami melihat kerjasama yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com








