KUALA LUMPUR 19 Feb — Seramai 4.11 juta ahli telah mengeluarkan simpanan mereka yang keseluruhannya berjumlah RM12.07 bilion daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 31 Disember 2024.
Demikian dimaklumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan menyatakan bahawa ia membabitkan sebanyak 31.1 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli dana tersebut yang berumur bawah 55 tahun.
"Secara am, pengeluaran menerusi akaun ketiga ini telah banyak membantu ahli terlibat untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka," katanya ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lebih lanjut, beliau memberitahu bahawa akaun ini memang diperkenalkan pada 11 Mei 2024 melalui penstrukturan semula daripada hanya dua akaun sebelum itu untuk menolong ahli terutama ketika waktu kecemasan.
Mereka malah bebas mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk apa-apa tujuan berbanding Akaun 1 yang kemudian dinamakan semula sebagai Akaun Persaraan dan Akaun 2 yang dijenamakan menjadi Akaun Sejahtera.
Langkah itu jelas Amir Hamzah, untuk memperkasakan ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan tempoh jangka panjang, sederhana dan pendek selain meningkatkan tabungan cukup setelah mereka bersara kelak.
"Setakat akhir tahun lalu, jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel ini selepas pengeluaran tersebut adalah sebanyak RM7.72 bilion dan dilihat berjaya meningkatkan aliran tunai pencarum ketika terdesak," katanya.
Justeru beliau menyifatkan cadangan beberapa pihak yang mahu pengeluaran KWSP secara bersasar sebagai tidak lagi relevan untuk diperkenalkan pada masa ini ekoran ahli masih boleh menggunakan akaun ketiga tersebut.
Kerajaan ujarnya, malah sentiasa berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam situasi persekitaran yang dinamik serta mencabar ketika ini.
Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa langkah itu untuk memelihara KWSP sebagai institusi keselamatan sosial yang diberikan mandat oleh kerajaan menyediakan simpanan sebagai bentuk pendapatan persaraan.
"Bahkan di bawah polisi KWSP sedia ada, terdapat kemudahan bagi ahli berusia kurang 55 tahun yang memiliki simpanan lebih RM1 juta untuk buat pengeluaran sebarang amaun dan mengurus sendiri lebihan," tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa empat pengeluaran khusus ketika wabak Covid-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas sebenarnya tidak pun termaktub dalam Akta KWSP kerana belum pernah dilaksanakan.
Meskipun bercanggah dengan mandat penubuhan KWSP sendiri, inisiatif itu dibuat setelah menilai kepada situasi keterdesakan semasa pandemik sebagai langkah jangka pendek dan bersifat sementara sahaja. - DagangNews.com








